Tuesday, November 16, 2010

.:: Menuju Yang Satu ::.


Meneruskan perjalanan kehidupan yang masih panjang...

Namun hakikatnya...
Kehidupan di dunia sesingkat cuma jika dibandingkan dengan kehidupan di akhirat sana,

Makanya,
kehidupan yang sementara ini harus di isi dengan iman dan amal yang soleh,
sebagai bekalan kehidupan yang abadi nanti,

Tetapkanlah langkah ku Ya Allah,
pada jalan dakwah ini,
yang bisa membawa aku ke jannah,

kerna inilah juga jalan kekasihMu yang mulia
Rasulullah S.A.W.

Sunday, November 14, 2010

Bila Bosan... Blog Adik Aku

Bismillahirahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t...

Alhamdulillah masih lagi diberikan kesempatan untuk terus bernafas di atas muka bumi ini.

Aku tak tau nak buat apa malam ni. Study?? Tadi dah study dah sikit-sikit n dah baca yang mana patut.. hehe..

Asyik dengan fesbuk dan blog, dan baru sahaja edit sikit blog kelas. Baru tukar gambar masa majlis jamuan hari tu.

Tengah asyik dengan blog kelas, teringat kat blog adik aku ni. Dia lagi 'power' or teror kot dari aku ni... huhu.. yang tu memang akui lah..
Lagipun dia lebih aktif dari aku kalu bab-bab berprogram ni. Aku pun tak tau program apa yang dia join tp yang aku tahu memang baguslah program yang dia join tue.. kalau balik cuti, jarang sangat ada kat umah, mesti akan keluar dan bermalam sehari dua di tempat program dia tu.

Try la usha2 blog dia ni Aku, ana, saya, i



Setakat ni je kot post kali ni. Saja je mengisi masa di kala bosan di kala dinihari ni..

Saturday, June 19, 2010

Kembali bertaut...


Bismillahirrahmanirrahim…
Assalamualaikum w.b.t… segala puji bagi Allah yang menciptakan seluruh alam raya ini tanpa ada cacat dan celanya.. Alhamdulillah.. Selawat serta salam ke atas junjungan mulia, kekasih tercinta Nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada’, tabi’e, tabi’ tabi’e serta mujahid mujahidah yang senantiasa berjuang dalam menegakkan kalimah lailahaillallah di atas muka bumi yang fana ini.
Subhanallah… Alhamdulillah… Allahukbar…
Rasanya memang sudah terlalu lama aku biarkan ‘teratakku’ ini berhabuk, terbiar kosong begitu sahaja. Aku tinggalkan ‘teratakku’ ini tanpa perkhabaran berita dariku, tetapi kekadang diselitkan juga sedikit tazkirah hati buat tetamu yang sudi datang bertandang ke laman ini. Jika di awal semester dulu mungkin agak sibuk dengan tugasan, namun kerana sikap malasku untuk mengupdate laman ku ini menyebabkan ia terbiar begitu sahaja. Pelbagai peristiwa yang telah berlaku sepanjang semester 5. Ada yang suka ada yang duka telah ku tempuhi dalam menjalani hidup sebagai seorang hamba di muka bumi ini.
Dan untuk semester 5, aku telah mula menjalani praktikum iaitu latihan mengajar sebagai persediaan bagiku untuk bergelar seorang guru kelak. Alhamdulillah, praktikum ku selama sebulan di sekolah telah memberi aku begitu banyak pengalaman berharga dalam aku menempuhi masa-masa mendatang sebagai seorang guru.
Rasanya ingin aku bingkiskan sedikit kisah hidupkan di bulan 3 lalu. Banyak peristiwa yang berlaku dalam hidupku. Dan aku amat bersyukur dengan segala yang terjadi lalu kerana telah mengajarku erti untuk menghargai. Dan sebagai seorang hamba, kita seharusnya senantiasa bersyukur dengan segala apa yang kita miliki kerana pada bila-bila masa sahaja apa yang kita miliki itu boleh hilang dalam hidup kita.
Sepanjang cuti bulan 3 lalu tiada apa yang ingin aku kongsikan di sini kerana kehidupanku seperti biasa juga. Cuma ada beberapa peristiwa yang berlaku dalam hidupku dan akan menjadi kenangan untuk di ingati selama mana bernafas. Hehe.. selesai cuti, hari pertama penggal kedua semester 5, aku terus menjalani praktikum di sekolah kebangsaan kampong nangka. Alhamdulillah, sepanjang menjalani praktikum, begitu banyak ilmu dan pengalaman yang berharga dapat aku kutip daripadanya. Dan sepanjang menjalani praktikum juga, jadual harianku agak sibuk dari sebelumnya. Maklumlah, baru pertama kali menjalani praktikum. Tapi bila dah masuk minggu kedua praktikum, Alhamdulillah sudah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Pelbagai ilmu yang dipelajari selama ini dapat diaplikasikan dengan adanya praktikum ini. Dan tidak semestinya jika kita pandai teori, kita juga akan pandai untuk mengaplikasikannya semasa menjalani praktikum kerana pelbagai karenah murid yang akan dihadapi. So, kena pandai-pandailah mengawal keadaannya. Dan aku sangat bertuah untuk praktikum pertama ini kerana aku mengajar murid di tahun 2, 3, 4 dan 5. Tahap perkembangan kognitif mereka memang berbeza dan ia memberikan aku pengalaman yang begitu berharga berbanding dengan sesetangah kawanku yang hanya mengajar murid tahun 3 atau 4 sahaja. Inilah pengalaman, guru yang paling bagus bagi diriku.
Selesai menjalani praktikum, aku kembali ke alam kampus menjalani semula kehidupan sebagai seorang guru pelatih. Persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir semester bakal menanti. Namun, dalam kesibukan menanti final, sempat juga diadakam Malam Kebudayaan Dan Keusahawanan di ipg aku. Di mana program ini telah dikelolakan oleh Kolej Kediaman Ibnu Majid yang mana telah menjadi contoh kepada kolej kediaman lain untuk menganjurkan pelbagai aktiviti. Kerana kolej kediaman inilah yang menjadi pencetus kepada beberapa aktiviti mahupun kejohanan yang seterusnya menjadi acara tahunan di ipg ksm. Namun begitu, Malam Kebudayaan Dan Keusahawan yang telah berlangsung mendapat sedikit kritikan daripada insan prihatin yang sedar akan masalah ummah yang melanda sekarang. Namun, disebabkan ayat yang digunakan untuk teguran itu tidak kena pada gayanya, maka pelbagai masalah timbul. Tapi Alhamdulillah, dapat diselesaikan. Moga ia menjadi pengajaran dan semangatnya untuk memperbetulkan kemungkaran yang dilihat di depan mata tidak akan luntur. Sebagaimana hadis “sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mencegahnya dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah dengan lisan dan jika tidak mampu hendaklah dengan hati, dan sesungguhnya ia adalah selemah-lemah iman”..
Selesai menjalani peperiksaan akhir semester, kebanyakan guru pelatih menghabiskan masa seminggu sebelum cuti di bilik masing-masing dan ada juga yang keluar melakukan aktiviti luar. Dan untuk seminggu ini juga, pelbagai program telah diadakan untuk pengisian guru pelatih. Dan ada juga yang balik ke kampong lebih awal dari yang sepatutnya. Hehe..
Sebenarnya, terdapat beberapa aktiviti yang telah dirancang oleh sahabat-sahabatku dan juga naqib, iaitu untuk mengadakan jaulah ke utara tanah air. Namun disebabkan oleh masalah-masalah yang tak dapat dielakkan, jaulah yang dirancang terpaksa di tangguh ke suatu masa yang belum ditetapkan lagi. Khatibah terakhir yang dirancang sebelum bermulanya cuti juga terpaksa di batalkan kerana beberapa masalah yang tak dapat dielakkan. Agak susah untuk semester ini bagi mengadakan sesuatu program bersama sahabat disebabkan kesibukan masa dan juga masalah-masalah yang sentiasa dihadapi secara mengejut.

Bermulanya cuti semester, minggu pertama ini aku banyak menghabiskan masa bersama dengan ahli keluarga ku di rumah. Memasuki minggu kedua, agak sibuk dengan jemputan perkahwinan. Dan semalam, aku baru sahaja pulang dari menemani abang angkat ku untuk majlis perkahwinannya di pasir mas. Semoga mereka berbahagia sehingga akhir hayat mereka dan akan melahirkan generasi pembela agama untuk meneruskan risalah yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. 

Dan untuk minggu terakhir cuti ini, aku mungkin hanya berada di rumah menghabiskan masa bersama keluarga di samping menghabiskan bacaan buku yang belum habis lagi ku baca.. hehe.. moga aku mendapat sedikit ilmu dari pembacaan itu yang akan menjadi panduan bagiku menjalani hidup kelak.

Rasanya, cukup satakat itu sahaja celoteh aku untuk entry ini. Insya’Allah kalau diberi kesempatan dan kelapangan, aku akan mengupdate blog ku ini.




Wednesday, April 21, 2010

Nilai Tudung Seorang Wanita...

Assalamualaikum w.b.t..
Alhamdulillah syukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah kurnia dan inayaNYA dapat lagi aku meneruskan sisa-sisa hidupku sebagai seorang hamba kepada Pemilik alam raya ini. Selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada’ tabi’e, tabi’ tabi’e serta mujahid mujahidah yang senantiasa berjuang dalam menegakkan kalimah lailahaillallah di atas muka bumi yang fana ini.
Subhanallah… Alhamdulillah… Allahukbar…
Setelah sekian lama ‘rumah’ku ini ditinggalkan tanpa sebarang perkhabaran berita, kini aku kembali ingin mencalit sedikit perkhabaran dan berkongsi sedikit ilmu bersama pembaca dan pengunjung setia di laman ini. Nilai tudung seorang wanita. Itulah tajuk yang akan dibincangkan di bawah ini. Sama-samalah kita hayati dan renunginya terutamanya bagi seorang yang menggelarkan dirinya sebagai seorang wanita.

Nilai Tudung Seorang Wanita...
Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.



Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada’ dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. Jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui “Islam is really beautiful.” Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.


P/s: Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Thursday, February 11, 2010

BAHAYA MENGUMPAT DAN BANYAK PRASANGKA

(Al Hujurat: 12 - 13)
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ (12) يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا (وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13



Terjemahan:
(12) Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.
(13) Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.


Tafsir Ayat:
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka ,
Allah SWT melarang mukminin dan mukminat agar mereka jangan terlalu banyak buruk sangka terhadap mukminin dan mukminat yang lain. Lebih-lebih lagi kalau mereka itu orang-orang yang dikenal sebagai orang-orang yang baik, jujur lagi amanah. Adapun terhadap orang yang suka melakukan perkara buruk secara terang terangan, seperti masuk night club, discotik dan lain-lain, maka berburuk sangka kepada mereka tidaklah di haramkan.

Sa'id Bin Al Musayyab RA berkata: Sebahagian saudaraku daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW pernah menulis surat kepadaku:

"Hendaklah engkau letakkanlah segala urusan saudaramu pada tempat yang sebaik-baiknya selagi dia tidak mendatangkan kepadamu sesuatu yang boleh mendorong kamu berburuk sangka kepadanya, dan janganlah kamu berburuk sangka pada setiap kata yang keluar dari (mulut) muslim lain sedangkan engkau kenali dia orang yang baik, dan barangsiapa yang mendedahkan dirinya kepada tohmahan maka janganlah dia mencela kecuali kepada dirinya sendiri". (Di keluarkan oleh Al Baihaqy dalam Sya'bul Iman)

Kemudian Allah sebutkan sebabnya ('illatnya) mengapa kebanyakan prasangka buruk terhadap mukmin lain itu dilarang.

Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa.
Buruk sangka kepada sesama Muslim adalah dosa. Larangan serupa juga terdapat pada ayat lain, antaranya:

(وَزُيِّنَ ذَلِكَ فِي قُلُوبِكُمْ وَظَنَنْتُمْ ظَنَّ السَّوْءِ وَكُنْتُمْ قَوْمًا بُورًا (12
"Dan syaitan telah menjadikan kamu memandang baik dalam hatimu persangkaan itu, dan kamu telah menyangka dengan sangkaan yang buruk dan kamu menjadi kaum yang binasa". (Al Fath: 12)

Dan menurut Ibnu Abbas RA: Ayat ini melarang mukmin berburuk sangka terhadap mukmin yang lain.

Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.
Allah melarang mukmin mencari-cari rahsia orang lain, lalu didedahkan keburukan hasil intipan itu. Kita semestinya berpuas hati dengan tindak tanduk zahir dari seseorang. Lalu kita berikan pujian dan sanjungan sewajarnya terhadapnya ataupun sebaliknya mencela seseorang hendaklah berdasarkan amalan zahirnya umpamanya ia seorang yang melakukan maksiat secara terang terangan seperti pemabuk atau penjudi, bukan atas dasar apa yang tersembunyi.
Oleh sebab inilah kita dilarang keras memasuki rumah atau bilik orang lain tanpa izin dan kebenaran penghuninya.

Rasulullah SAW. bersabda: "Ada tiga perkara yang mesti ada pada umatku: Thiyarah (beranggapan sesuatu boleh membawa sial), hasad (dengki) dan suu'uzzan (buruk sangka).
Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulallah, bagaimanakah caranya agar ketiga-tiga perkara itu dapat kami hindarkan? Lalu jawab baginda SAW.: Jika kamu ada perasaan dengki maka segeralah beristighfar (taubat) dan jika kamu berburuk sangka (pada seseorang) maka janganlah kamu selidiki atau mengintip intip dan jika kamu thiyarah maka hendaklah kamu teruskan (pekerjaan itu).
(HR Thabarany dari Harits Bin Nu'man)

Dan janganlah sebahagian kamu menggunjing (mengumpat) sebahagian yang lain.
Maksudnya: Jangan hendaknya kita menyebut keburukan orang lain yang dia benci jika mengetahuinya. Larangan "menyebut" disini bukan hanya terbatas pada ucapan lisan tetapi juga termasuk dalam bentuk isyarat. Dan maksud "yang dia benci" disini mencakupi tentang agamanya, dunianya, akhlaknya, rupanya, hartanya, anaknya, isterinya, suaminya, khadamnya, pakaiannya, perhiasannya dan lain-lain.

Menurut Al Hasan: Mengumpat ada tiga bentuk, iaitu:
  1. Al Ghibah: Menyehut ke’aiban atau kecacatan seseorang yang ‘aib itu memang ada pada diri orang tersebut.
  2. Al Buhtan: Menyebut ke’aiban atau kekurangan seseorang yang ‘aib itu tidak ada pada orang itu (hanya direka-reka saja).
  3. Al Ifk: Menyebut ke’aiban atau keburukan seseorang hasil daripada apa yang didengarnya melalui mulut orang lain.
Para ulama sependapat bahawa kesemua jenis mengumpat diatas adalah dosa besar (Al Kabaair). Selain mereka wajib taubat kepada Allah, mereka juga wajib memohon maaf kepada orang yang diumpat.

Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kami merasa jijik kepadanya.

Ayat ini mengandungi amaran keras dari Allah SWT kepada orang-orang yang suka mengumpat iaitu sebagaimana kamu sangat benci dan jijik memakan daging saudaramu yang sudah mati (mayat), hendaknya demikian jugalah darjat kebencianmu daripada mengumpatnya semasa hidupnya.

Dengan kata lain sebagaimana kamu jijik memakan daging manusia yang sudah mati menurut naluri (fitrah) maka begitulah hendaknya kamu benci terhadap mengumpat menurut syar'i (agama).



Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Maksudnya: Jauhilah sifat suka mengumpat dan kembalilah ke jalan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Walaupun hukum asal " mengumpat " adalah haram tetapi kadangkala hukum mengumpat dibolehkan atau tidak diharamkan jika maksud syara' (agama) tidak tercapai kecuali dengannya:
  1. Jika dizalimi. Maksudnya: Orang yang dizalimi boleh mengadu dan menceritakan ke’aiban orang yang menzaliminya kepada orang yang dianggap dapat menolong menyelesailan masalahnya seperti kepada hakim atau mufti dan lain lain yang mempunyai otoriti untuk tujuan itu.
  2. Minta pertolongan untuk menghentikan kemunkaran kepada orang yang dirasakan mampu untuk berbuat demikian umpamanya mengadu perbuatan sumbang atau salah laku yang dilakukan oleh anggota masyarakat kepada Badan Pencegah Maksiat, Badan Pencegah Rashwah dan lain lain agar mengambil tindakan sewajarnya agar perbuatan tersebut tidak berterusan.
  3. Mohon fatwa kepada mufti. Sebab mufti tidak dapat memberi fatwa yang tepat sekiranya ia tidak dimaklumkan tentang perkara apa yang sebenarnya berlaku. Umpamanya seorang isteri yang dianiaya oleh suaminya. Dalam hal ini tidak berdosa isteri tersebut menceritakan keburukan suaminya yang tidak bertanggung jawab seperti tidak memberi saraan hidup atau suka mendera isteri dan lain lain.
  4. Memperingati umat Islam daripada kerugian atas kesesatan, seperti menyebut ke’aiban periwayat hadis seperti ia kurang kuat ingatan, pendusta, kurang amanah dan lain lain agar umat Islam boleh berhati hati dan waspada jangan terambil hadis yang diriwayatkannya.
  5. Jika dia melakukan kemungkaran secara terang terangan, seperti pemabuk atau penjudi, malah bangga dengan perbuatannya itu.
  6. Sebagai gelaran pengenalan. Tanpa gelaran tersebut sukar dia dikenali seperti Mamat pincang, Minah sumbing dan sebagainya.

Hai manusia, sesungguhnya kami menjadikan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan.
Maksudnya: Hai manusia, kamu semua berasal dari datok yang satu iaitu Adam dan nenek yang satu iaitu Hawa. Oleh itu mengapa sebahagian kamu memperolok-olokkan sebahagian yang lain?, mencela, melemparkan dengan gelaran yang buruk , berburuk sangka , mengumpat padahal kamu adalah bersaudara?

Dari Abi Mulaikah, katanya: Pada hari penaklukan kota Mekah, Bilal Bin Rabah naik keatas anjung Ka'bah lalu beliau melaungkan azan. Lalu berkata Attab Rin Asid Bin Abi Al Aish: " Syukur Al Hamdulillah yang telah mematikan ayahku sebelum tiba hari ini ". Berkata pula Harits Bin Hisyam: " Apakah Muhammad tidak mendapati orang lain untuk azan selain gagak hitam ini? ". Lalu Jibrail menyampaikan kepada Nabi Muhammad SAW. apa yang telah mereka perkatakan. Nabi SAW. pun memanggil sahabat-sahabat berkenaan dan menanyakan mereka , dan mereka mengaku. Kerana inilah ayat diatas diturunkan oleh Allah SWT.
Dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.

Maksudnya: Supaya kamu saling kenal mengenali, bukan saling membenci, bukan saling menghina, bukan saling mencaci.

Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.
Maksudnya: Kemuliaan tidak semestinya ditentukan oleh jenis kelamin, warna kulit atau suku bangsa. Tetapi ia sangat ditentukan oleh ketaqwaan seseorang kepada Allah. Oleh itu kalaupun anda ingin berbangga maka berbanggalah dengan " taqwa ".


p/s: semoga perkongsian ini membawa kebaikan kepada semua..

SYABAB,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Dalam keliru kau mencari identiti diri,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan sebuah kematangan,

Wahai SYABAB,
Ketekunanmu mengoborkan cita-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta Gelombang,
Ayuh, SYABAB!


-Fatimah Syarha-syabab musafir kasih