Saturday, February 28, 2009

Manisnya Tahajjud

Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com/

Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, disisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.

Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.


Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t. Berkata Al Fudhail bin Iyadh, “Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata, “Jikalau tidaklah kerana malam nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini.”

Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.


Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.”


Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur.”


Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan malam.

Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas.”

Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dealam golongan mnusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.”

Dipetik dari Panduan Solat Tahajjud, oleh Muhammad Uzair Al Aziz.

Monday, February 23, 2009

BEKALAN TAQWA, LEMAH LEMBUT PENGHIAS SEGALA SESUATU

"Dari Aisyah lah. a, dia berkata: Rasulullah saw pernah bersabda kepadaku:"Wahai aisyah, hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla dan lemah lembut. Kerana lemah lembut itu sama sekali tidak berada pada seuatu melainkan menghiasinya, dan lemah lembut itu sama sekali tidak terlepas dari sesuatu melainkan ia memburukkannya"
(Isnadnya Hassan, ditakhrij At- Tarmizi)


Wasiat yang sangat bernilai ini merupakan salah satu dasar penting yang membantu dalam kehidupan orang mukmin di dunia. Dasar taqwa, hendaklah engkau menciptakan satu perlindungan antara dirimu dan yang engkau takuti agar dapat menjaga dirimu. Takwa wanita muslimah kepada Tuhannya, hendaklah menjaga dirinya dari dimurkai Allah dengan cara melaksanakan perintahNya.


"Dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa, dan bertakwalah kepadaKu hai orang2 yang berakal"
(al-Baqarah: 197)


Sifat2 orang yang bertaqwa:

1. Beriman kepada Allah
2. Beriman kepada Malaikat
3. Beriman kepada kitab2 samawi yang diturunkan di sisi Allah.
4. Beriman kepada Rasul
5. Beriman kepada hari akhirat
6. Mendirikan solat
7. Menunaikan zakat
8. Memberi harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak2 yatim, orang2 miskin, dll.
9. Sabar tatkala mendapat penderitaan, kesempitan dan tatkala perang.
10. Menepati janji
11. Benar dalam keimanannya kepada Allah
12. Mengagungkan syiar2 Allah swt.
13. Menginfakkan (membelanjakan) harta dalam keadaan lapang dan sempit.
14. Menahan rasa marah, memaafkan kesalahan orang lain
15. Beriman kepada hal-hal yang ghaib.


Berkat bersifat taqwa:
1. Mengambil manfaat dari al-Quran dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.
2. Kedudukan yang tinggi di sisi Allah pada hari kiamat.
3. Memperolehi syurga dan apa yang terkandung di dalamnya
4. Mendapat kecintaan Allah
5. Mendapat perhatian dari Allah
6. Memperolehi kejayaan
7. Hilang rasa takut, sedih, dan mendapat khabar gembira di dunia dan akhirat
8. Terbuka pintu keberkatan dan nikmat dari langit dan bumi.
9. Mendapat apa yang boleh membezakan antara yang hak dan bathil.
10. Mendapat perlindungan Allah
11. Keselamatan dari neraka pada hari kiamat
12. Berkumpul bersama-sama utusan Allah yang terhormat.
13. Kesudahan yang baik.
14. Keampunan dosa.
15. Persahabatan yang menguntungkan pada hari kiamat.
16. Berada di suatu teman yang aman.
17. Kemuliaan di sisi Allah.
18. Mendapat tempat yang disenangi di syurga.
19. Mendapat rahmat, hidayah dan maghfirah dari Allah.
20. Keluar dari kekhuatiran dan kesempatan di dunia dan akhirat.
21. Segala urusan dipermudahkan, segala kesalahan ditutupi dan pahalanya dilpatgandakan.
22. Selamat dari tipu daya orang-orang yang dengki dan iri hati.
23. Amalannya diterima oleh Allah.
24. Diterima secara ramah dan baik oleh malaikat pada hari kiamat nanti.


lah-Rifq ertinya sikap lemah lembut, wajah berseri dan lapang dada. Lemah lembut memiliki satu kelebihan dari akhlak2 lain. Maka Allah memberi pujian yang baik kepada orang yang memiliki sifat lemah lembut di dunia dan pahala yang melimpah ruah di akhirat. Sifat lemah lembut mempercantik orangnya dan memperindah di mata manusia di sisi Allah.


Maka jadikanlah sifat lemah lembut sebagai perhiasan dirimu wahai muslimah, yang dapat engkau terapkan terhadap anak2, suami dan tetanggamu. Jadikanlah ia sebagai jalan kehidupanmu agar dapat mencapai apa yang engkau kehendaki.


Al-Asma' pernah berkata dalam syairnya:


"Tak pernah ku lihat kelemahlembutan, Seperti dalam kehalusannya, Dia keluarkan anak-anak perawan, Dari tempat pingitannya, Siapa minta pertolongan, Dalam menyelesaikan urusan, Diapun bisa mengeluarkan binatang, Dari tempat persembunyiannya."


(Rujukan: 50 wasiat Rasulullah SAW untuk wanita)

Sunday, February 22, 2009

Tips Mencuci Hati

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati:


1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 tak sebelum tidur - Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan

3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda

4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X

5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakanlah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!!

8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa)

10. Kekalkan wuduk

11. Bersedekah

12. Belanja orang makan

13. Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat

14. Berkawan dengan ulama

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16. Menutup aurat mengikut Islam yang sebenar terutama wanita, bersegera dalam solat dan sebagainya

17. Pesan pada orang, jadi baik

18. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut...dan sebagainya), jangan dengar orang mengumpat


Semoga artikel ini dapat membantu kita semua dalam penyucian hati.. sama-samalah kita mencari redha Allah di dalam kehidupan kita. Insya’Allah…

Saturday, February 21, 2009

Mencari...

Entah mengapa
Hatiku ini terasa kosong
Kosong... Kosong... Kosong...
Aku masih mencari.. mencari.. dan terus mencari..
Namun begitu, jiwa ini sentiasa resah..

Entah mengapa

Diri ini di landa derita
Terasa jauh dari rahmat Allah
Jauh dari cinta Allah
Aku masih mencari
Dan terus mencari

Namun,
Tidak ku temui apa yang ingin ku cari
Hatiku kosong
Kehilangan....
Mencari ketenangan
Mencari kedamaian
Mencari keindahan
Mencari kebahagiaan

Di sebalik wajah ini,
Tersimpan seribu satu rahsia
Rahsia yang membuatkan diri hina
Hina.. hina.. hina..

Aku menangis
Aku merintih
Namun,
Aku masih terasa kekosongan
Aku mencari ketenangan
Ketenangan hati
Ke manakah hilangnya ketenangan ku?

Adakah ia pergi bersama seseorang yang ku kasihi?
Dan adakah ia akan kembali apabila bertemu semula dengannya?
di manakah jawapan untukku?
dimanakah?
dimanakah?

Oh Tuhan
Aku hamba yang lemah
Sungguh lemah
Aku khilaf
Aku khilaf
Aku khilaf

Oh Tuhan
Bantulah hambaMu ini
Bantulah aku dalam mencari ketenangan hakiki
Kedamaian abadi
Mencari cahaya kasihMu ya Rabbi..


Nukilan isi hati...
syabab Islam
4.20 petang, 21-2-2009

Wednesday, February 18, 2009

Program Pemantapan Jati Diri Pelajar Cemerlang

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah kerana diberikan lagi peluang untuk aku mencoret sedikit sebanyak perjalanan hidupku sebagai seorang hambaNya. Selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat, para syuhada’ yang hidup di sisi Allah, serta para pejuang agama Allah yang sentiasa berjuang bagi menegakkan panji Islam dari dulu sehingga sekarang.


Pada coretan kali ini, ingin aku berkongsi pengalamanku bersama rakan sekelas menganjurkan satu program motivasi di sebuah sekolah di daerah pasir mas. Program ini merupakan anjuran kelas kami bagi memenuhi satu silibus Bina Insan Guru (BIG). Kali ini kelas kami menganjurkan program motivasi selepas menganjurkan satu program khidmat sosial pada tahun lepas. Nama bagi program ini ialah Program Pemantapan Jati Diri Pelajar Cemerlang. Bagi program ini, aku bertindak sebagai timbalan pengarah program. Sebenarnya program ini mengambil contoh daripada Program Bersama Mahasiswa yang dianjurkan oleh alumni batch aku pada tahun lepas di sekolah menengah kebangsaan agama melor. Pada program itu, aku juga memainkan peranan sebagai timbalan pengarah program. Jadi pengalaman yang aku ada itu, aku aplikasikan bagi melaksanakan program ini. Kertas kerja dan juga pengisian program ini semuanya berdasarkan Program Bersama Mahasiswa yang aku laksanakan tahun lepas.


Pagi…..

Pagi, 14 Februari 2009, aku bersama rakan sekelasku bertolak ke sekolah menengah kebangsaan kubang bemban, pasir mas. Sekolah ini merupakan sekolah angkat menteri pelajaran Malaysia. Sekolah ini merupakan sekolah kawalan dan boleh diketogerikan sebagai sekolah bestari jugalah. Aku bersama 2 orang rakanku pergi ke sana dengan menaiki kereta manakala rakan sekelasku yang lain menaiki bas institut. Kami meninggalkan institut lebih kurang pada pukul 7.30 pagi. Perjalan ke sana mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja. Sebaik sahaja tiba di sekolah itu, aku melihat sudah ada beberapa orang pelajar yang akan turut serta dalam program itu nanti. Tidak lama selepas itu, rakan-rakan sekelasku yang menaiki bas sampai ke perkarangan sekolah. Kami menyediakan bahan-bahan yang perlu sepanjang program ini. Lebih kurang pukul 9.30 pagi, satu sesi taklimat telah diberikan oleh mohd ridhwan iaitu pengarah program ini dan juga merupakan bekas pelajar sekolah itu. Sesi taklimat dimulakan awal dari jadual perjalanan program berikutan semua peserta telah berkumpul di dewan bestari. Sesi taklimat ringkas telah diberikan dan pengenalan semua fasilitator telah diberikan oleh ridhwan. Selepas itu, semua peserta diminta berada dalam kumpulan LDK masing-masing. Terdapat 8 kumpulan LDK semuanya, tetapi aku tidak mempunyai kumpulan LDK, huhu… aku memainkan perananku seperti biasa, hehe.. ada juga aku masuk sekejap ke dalam LDK sahabatku hafiz. Dan masa lainnya aku merakamkan video dan mengambil gambar. Sesi taaruf berakhir pada jam 10.45 pagi. Selepas itu, semua peserta dan fasi bersarapan pagi di dewan makan asrama sekolah. Selesai makan, LDK 2 diteruskan. LDK 2 ini berkaitan dengan pengurusan masa. Masa yang diberikan untuk LDK 2 ini selama 45 minit sahaja kerana selepas itu ada sedikit permainan untuk para peserta. Tujuan diadakan permainan ini adalah supaya para peserta tidak berasa bosan dengan program ini dan mereka akan seronok menyertai program ini. Namun begitu, seperti yang pernah aku cakapkan sebelum ini kepada rakan-rakan sekelasku, masa untuk LDK tidak cukup walaupun pada permulaannya mereka merasakan masa yang diberikan untuk setiap LDK terlalu lama. Urusetia terpaksa memberhentikan sesi LDK untuk memberi peluang kepada peserta bermain permainan BOM-BOm seperti yang dirancang sebelumnya. Aku melihat para peserta seronok dan terhibur dengan permainan ini. Selesai bermain, semua peserta dan juga fasilitator berehat, makan tengahari dan juga menunaikan solat zohor berjemaah di surau.

Abang-abang fasi


Kakak-kakak fasi


Petang….

Pada sebelah petang, sesi LDK 3 diteruskan. LDK 3 ini berkaitan dengan membina matlamat. Semua peserta diminta mengisi borang yang telah disediakan manakala fasilitator menghuraikan sedikit sebanyak tentang pembinaan matlamat serta yang berhubung kait dengan pengalaman fasi itu sendiri. Ketika sedang sesi LDK 3 sedang rancak, sekali lagi urusetia terpaksa menamatkan LDK 3 untuk sesi tayangan multimedia. Bagi tanyangan multimedia ini, aku dan afiq yang bertanggungjwab. Video para peserta yang bertemakan lagu tema program ini iaitu gemuruh telah aku siapkan pagi tadi selepas selesai LDK 2. Video itu aku tunjukkan kepada semua peserta. Selepas itu, tayangan video tentang palestin ditunjukkan kepada para peserta. Selesai tayangan video palestin. Afiq, bermain kata-kata, bermain perasaan dengan para peserta. Bermain kata-katan di LCD, para peserta telah bergelinangan air mata. Mereka menangis melihat video itu. Melihat kasih sayang anak kepada ibu ayah yang ditunjukkan di dalam video itu. Bukan para peserta sahaja yang menangis, tetapi para fasilitator juga turut menangis sama. Selesai tayangan video itu, afiq terus bermain dengan perasaan. Kali ini afiq membawa para peserta menghargai sahabat mereka. Afiq menggunakan modul KBM yang dilaluinya untuk sesi ini. Ternyata berkesan. Sebaik sahaja lagu teman sejati dimainkan, semua perserta menangis di dalam pelukan sahabat masing-masing. Sungguh terkesan di hati para peserta. Mereka menangis sepuas-puasnya. Jika sebelum ini, para peserta lelaki agak susah untuk menangis, tetapi kali ini mereka semua menangis bersama sahabat mereka. Bukan peserta sahaja yang turut menangis malah kakak-kakak fasi juga turut menangis sama di dalam pelukan sahabat mereka. Hmmm… sebaik sahaja selesai aktiviti ini, aku mencadangkan agar LDK 4 dibatalkan kerana sudah kesuntukkan masa tetapi para peserta masih lagi ingin meneruskannya. Aku agak terkejut dengan permintaan mereka ini. Ternyata program ini betul-betul berjaya walaupun diuruskan oleh kami yang amatur. LDK 4 diteruskan tetapi masa untuk LDK 4 ini terpaksa disingkatkan kerana kami kesuntukan masa. LDK 4 ini berkaitan dengan diri perserta. Boring potensi diri diedarkan kepada peserta untuk di isi dan dinilai oleh mereka sendiri. Fasilitator menghuraikan sedikit sebanyak tentang apa yang telah di isi oleh peserta. Oleh kerana kesuntukan masa, boring refleksi untuk program ini diedarkan sebaik sahaja tamat LDK 4. Selepas semuanya selesai, semua perserta di minta berkumpul untuk sedikit refleksi secara keseluruhan. Beberapa orang peserta di pilih untuk membuat refleksi di atas pentas. Ternyata daripada refleksi yang diberikan oleh para pelajar, program ini sungguh berjaya. Ada seorang pelajar yang pada mulanya agak berat untuk menyertai program ini tetapi pada akhirnya dia begitu bersemangat dan seronok dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kami. Selepas itu, kami para fasilitator dan juga para peserta sama-sama menyanyikan lagu tema program ini iaitu lagu gemuruh. Lagu ini berjaya menyuntik semangat para peserta semua untuk terus berusaha dalam mendaki cita-cita mereka. Selesai menyanyikan lagu, sesi fotografi pula menyusul. Setiap kumpulan LDK mengabadikan gambar kenangan bersama fasi dan ahli kumpulan masing-masing. Dalam pada masa yang sama, para peserta juga mengambil tandangan, no. telefon, emel dan lain-lain lagi daripada abang-abang dan akak-akak fasi. Aku sendiri tidak cukup tangan untuk menulis, terpaksa bersila di atas lantai untuk memenuhi kehendak adik-adik. Setelah semuanya selesai, para peserta menghantar abang-abang dan akak-akak fasi ke bas institut yang telah lama menunggu. Aku dan 3 orang rakanku pulang berasingan dengan menaiki kereta. Ternyata program kami ini sungguh berjaya..

Membuat pemantauan semasa LDK..hehe...


Peace!!


Semua peserta dan juga fasilitator


Adik-adik SMK Kubang Bemban


Buat adik-adik peserta yang melawat blog abang ini. Semoga adik-adik terus berjuang dalam menghadapi peperiksaan SPM nanti. Semoga antum semua berjaya di dunia dan akhirat. Semoga kenangan kita di program itu akan tetap subur di ingatan adik-adik. Dan kalau terserempak abang ni di mana-mana tue, tegur-tegurlah nanti.. eheh…

SYABAB,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Dalam keliru kau mencari identiti diri,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan sebuah kematangan,

Wahai SYABAB,
Ketekunanmu mengoborkan cita-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta Gelombang,
Ayuh, SYABAB!


-Fatimah Syarha-syabab musafir kasih