Sunday, November 22, 2009

Selamat Bercuti & Salam Perpisahan

Assalamualaikum w.b.t
Alhdulillah segala puji bagi Allah kerana masih lagi memberikan aku ruang, masa dan kesempatan untuk terus mencoret sedikit bingkisan hidup aku, selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada', tabi'e, tabi' tabi'e, serta para mujahid mujahidah yang senantiasa berjuang dalam menegakkan kembali daulah Islam yang suci.

Subhanallah... Alhamdulillah... Allahukbar...

Semalam aku baru sahaja pulang dari mukhayyam perdana ipt negeri kelantan yang di adakan di Tanjung Chap, Bachok. Alhamdulillah, program berjalan dengan lancar. Mungkin di lain masa dan kesempatan aku akan coretkan bingkisan program itu.

Salam perpisahan aku tujukan khas buat seorang abang, sahabat, teman, kawan dan rakan. Insya'allah di lain masa akan ada coretan buat abg. Sesungguhnya perkenalan kita membuahkan kemesraan yang akan dikenang sampai ke akhir hayat. Kenangan yang tercipta akan tetap tersemat di hati sanubari ini.

Hanya ini sahajalah sedikit bingkisan sebelum aku pulang ke kampung.

Di sini aku ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua warga guru pelatih IPGM Kampus Sultan Mizan. Manfaatkanlah masa cuti anda dengan perkara-perkara yang berfaedah. Carilah ilmu di surau-surau atau masjid-masjid. Moga ilmu itu akan memandu kita ke arah hidup yang lebih mendamaikan...

Monday, November 16, 2009

Salam Perpisahan SIR...

Assalamualaikum w.b.t.

Subhanallah... Alhamdulillah... Allahuakbar...

Salam Perpisahan buat Mr. Norhyisyamuddin Bin Kamil, pensyarah dari Jabatan Bahasa-bahasa IPGM Kampus Sultan Mizan di atas pertukarannya ke IPGM Kampus Tuanku Ampuan Afzan. Seorang pensyarah yang begitu komited dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang pendidik. Kehilangannya amat sukar di cari ganti. Semoga perpisahan ini bukan perpisahan yang terakhir untuk kita. Salam dan ucapan istimewa buat SIR di blog kelas math. (SILA KLIK DI SINI)


Semoga SIR akan terus berjaya di tempat baru, suasana baru dan dengan pelajar baru. Sungguh bertuah warga IPGM KTAA kerana mendapat khidmat beliau di sana. Semoga SIR berjaya di dunia dan akhirat.

Jom Belajar Bahasa Kelate!

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah masih lagi diberi kesempatan untuk bertemu di alam cyber ini. Untuk entry kali ini, ingin aku berkongsi dengan pembaca semua tentang bahasa kelate. hehe...

Jom pelajari serba sedikit perkataan-perkataan kelate...


Vocabulary :

Bokbong – spesis musang
Ttuyup – pepatung
Pok Kor – spesis mengkarung
Ike Kkhonge – ikan cencaru
Gelenyar,Gletah -mengenyam, gatal, getik
saksoba = Absorber
Supik Gelenyar/supik rhokrhak – plastik bag (yang nipis tu.)
Buah Topoh = buah epal (diambil dr perkataan Arab “tuffah” = epal)
mokte = rambutan
kuk/kok = sekeh
njja = tendang
x cakno = x hirau
nyaknyo = kesian
bbaloh = kelahi
Ggaduh = nak cepat (double `G’ means sabdu))
debe = berani gilerr
Bekwoh = kenduri (mungkin berasal dari big work)
Tohok = buang
rhukah = panjat
Ghohok = susah, payah
hungga = lari (bkn hungga bungga ekk)
cuwoh = curah
getek/etek = juga
tepoh = langgar
tubik = keluar
SIAK DUK GGOBAR = Jangan risau.. Don’t worry, be happy!!!
IDAK KO = cuma
WAK GGOGHI = Bagi memulakan sesuatu.. to start with.(biase nyer dlm urusan perniagaan)
DEKPONG GAK EH = Kalau ya pun
Jjughuh = baik (jjughuh budok tu = baik budak tu)
Kelaghing = kesat/not smooth (kulit kelaghing = skin not smooth enough)
belengas = melekit
klikpah klikpah = terpinga pinga
lipotey = x tetap duduk
nneting = melantun



Kelantan + English?? = “Kelantalish”
Contoh:
POZEK (deposit),
RIZAT (result)
NNEJA (manager),
ESTEK (estate),
SUWIH (switch),
MERKET (market), dll…
BOKK (book)
rhoba (rubber)pemadam



Kata penguat dlm bahaso Klate pun boleh tahan menarik:
manis LLETING
masin PPEGHAK
pahit LLEPE
mase PPUGHIK
tawar EBER
putih SSUEH
hite LLEGE
biru KKETU
kuning NNEHE
kenye BBONYAH
comel LLOTE
gemuk GDEBOK
busuk BANGA
hapok KOHONG
nnakut/penakut apah
cerhoh/cerah jheriloh
jatuh celabok
kuca hanya (suara mengidung sedikit)



Ada beberapa “bunga bahasa” dalam loghat kelantan yang unik.. Antaranya:
YAK = lebih kurang “opocot!!!” atau “oops!!”
DEH? = memohon restu atau persetujuan. ..lebih kurang “OK?”,
GAK = lebih kurang “habis tu..” atau “so..”
PAH? = lebih kurang “GAK”
HO(bunyi naik ke hidung sikit ) = “ya lah..” atau “yes”
DOCK? = lebih kurang “bu(kan)?”, “betul tak?” atau “isn’t it?”
LAMOKEY = nanti kan



Seperkara lagi, ada diantara perkataan dalam penggunaan biasa loghat Kelantan di anggap TABOO dalam loghat yang lain, atau sekurang-kurangnya tak manis didengar pengertiannya di dalam loghat tempat lain…Yang popular digunakan antaranya:
AIR TUAK : kita minum di bulan puasa, buat berbuka!!! Bagi orang luar, TUAK adalah Haram (sama taraf dengan TODI & ARAK…)Yang fresh & manis tu dipanggil NIRA.
SUKU SAKAT : bagi kita,bermaksud “tidak kena mengena”, bagi org KL,ia bermaksud “kaum kerabat” contradict betul!!!sprt gak perkataan bujang(buje) membawa erti janda kl di kelantan.
SIAL = sembuh



Biasanya perkataan yang berakhir dengan`an’,’ am’,'ang’ diganti dengan `e’. cth :
Jangan=jange
Lengan =lenge
ayam = aye
Geran = gere,
Pisang = pise
Malam = male BUT NEVER NEVER & NEVER apply this formula on words like
pelam(mangga) & pelan.(nanti jd lain lak., hehe..)



Akhir sekali, peranan “SABDU” dalam loghat Kelantan. Begitu besar dan boleh membezakan langit dengan bumi.Sekadar contoh,
Tanpa ’sabdu’ orang boleh patah gigi kerana MAKAN KANTIN, sepatutnya disebut MAKE KKETENG (eating at the canteen)!!!
Atau salah faham antara TAK PAKAI (not wearing) dengan TOK PPAKA(useless) .Atau keliru diantara KECEK(tipu) dengan KKECEK (bercakap) dan juga banyak di ringkaskan pecakapan sprt :make kkeda (makan di kedai) maye ssejid (sembahyang di masjid)tido lluar(tidur di luar)



so itulah tutorial kite tentang bahasa kelate…( kalu nk himpun banyak lagi)

Sunday, November 15, 2009

Mencari Jalan


Saat waktu bertatih mengejar masa,

Saat bulan berjalan mengejar malam,

Saat mentari berlari mengejar siang,

Aku masih begini, masih seperti dulu,

Mencari siapa diri ini,

Mencari diri sendiri dalam diri ini,

Yang tidak bisa di duga,

Yang tidak bisa di jangka,

Hidupku kekadang naik, kekadang turun,

Begitu juga dengan imanku,

Kekadang di atas, kekadang di bawah,

Aku tidak sekuat yang disangka,

Diriku tidak begitu tegar menerima ujian dariMU Ya Allah,

Aku hamba yang lemah,

Mudah hanyut dalam arus kenikmatan dunia yang sementara ini,

Kenikmatan yang di beri banyak aku siakan,

Entah untuk apa masa ku habiskan,

Nikmat masa yang Kau beri,

Aku persiakan begitu sahaja,

Oh Allah…

Betapa ruginya aku ini,

Betapa alpanya aku dengan nikmat Mu,

Bantulah aku mencari jalan,

Jalan untuk dekat kepadaMu Ya Rabbi,

Jalan yang didambakan oleh mereka yang soleh,

Jalan menuju cahaya kasih Mu Ya Rahim,

Ya Allah…

Hatiku menangis mendamba kasihMu,

Mengharapkan cinta darimu Rahman,

Namun, aku sedar siapa diriku ini,

Tidak layak untuk mendapatkan semua itu,

Kerana aku begitu jauh dariMu,

Aku alpa dalam mengingatiMu,

Dalam perbuatanku,

Dalm tidurku,

Dalam amal perbuatanku,

Walhal dalam solat sekalipun,

Aku begitu jauh daripadaMu Ya Rabbi,

Namun, aku takkan menyerah,

Aku takkan berundur,

Aku takkan mengalah,

Aku akan berusaha,

Aku akan terus berusaha,

Berusaha mengapai rahmat kasih daripadaMu Ya Allah,

Ya Rabbi…

Kau bantulah aku,

Kau pimpinlah aku ke jalanMu,

Ke jalan yang diredhaiMu,

Sesungguhnya aku hamba yang lemah…

Bantulah aku Ya Rabbi….

Friday, November 6, 2009

Selamat Menduduki SPM


Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t...
Syukur kehadrat ILAHI kerana dengan limpah kurnia dan inayahNYA dapat lagi aku meneruskan hidupku di atas muka bumi yang fana ini. Selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada', serta mujahid mujahidah yang senantiasa tegar berjuang dalam menegakkan kalimah haq di atas muka bumi ini.

Subhanallah... Alhamdulillah... Allahuakbar...

Alhamdulillah, beberapa hari dari sekarang, semua pelajar tingkatan 5 di seluruh negara akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM. Tak lupa juga kepada adik-adik di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban yang pernah mengikuti program motivasi yang telah di kendalikan oleh aku bersama rakan sekelas dulu. Ucapan istimewa buat kamu semua di ruangan blog kelas. Sila klik di sini.

Dan tak lupa juga kepada adik-adik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor. Semoga batch antum semua dapat mengharumkan lagi nama sekolah itu yang semakin mekar sekarang. Antum semua adalah permata semekam yang akan mengegarkan dunia pendidikan di persada tanah air ini.

p/s: tak lupa juga kepada semua guru pelatih di seluruh IPGM yang menduduki final. diharapkan semuanya dapat menjawabnya dengan baik. Bittaufiq wannajah fil imtihan.

Monday, November 2, 2009

Salam Imtihan

Yang Mana BerNiLai???

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalmualaikum w.b.t.

Subhanallah... Alhamdulillah... Allahuakbar...

Untuk entry ini, aku tertarik dengan satu artikel daripada seorang sahabatku di bangku sekolah dulu. Aku ingin kongsikan bersama-sama pembaca sekalian.

Hayati dan fahamilah beberapa kisah di bawah ini...


Terdapat 3 kes kematian yang begitu hangat diperkatakan, kerana kematian ini berlaku secara serentak. Dan ketiga-tiga kes ini melibatkan 3 orang pemuda yang masih lagi muda lah..

Kes pertama, seorang pemuda yang meninggal dunia di dalam masjid, dalam keadaan sujud mukanya menyembah bumi. Pakaiannya serba hitam, dan dipercayai bukan penduduk setempat di situ. Maka penduduk disitu mengatakan kemungkinan dia seorang musafir yang singgah untuk solat di situ. Mayat dia dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Maka penduduk pun mengatakan dia mati dalam keadaan yang begitu mulia.

Kes kedua, seorang pemuda juga yang juga meninggal dunia. Dia telah meninggal dunia di tempat melontar di Mina. Dengan tangannya masih lagi terdapat beberapa biji batu, dan dalam keadaan yang begitu sesat, dia meninggal di situ juga. Mayat dia dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan ramai yang mengatakan dia juga telah meninggal dalam keadaan yang mulia.

Kes ketiga juga kes kematian, tetapi sedikit berbeza dari kedua-dua kes di atas. Seorang pemuda yang meninggal dalam keadaan yang cukup tragis, kepalanya berdarah dipukul botol arak, dan tangannya juga memegang botol arak. Dan beliau meninggal di tempat yang begitu hina, di kelab malam yang penuh dengan maksiat. Beliau meninggal di tempat kejadian serta merta. Polis menganggap kes ini merupakan pembunuhan, dan mayat beliau dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Orang ramai memandang serong ke atas kes kematian itu tadi.

Berlakulah bedah siasat dan terungkai segala asbab kematian ketiga-tiga pemuda itu tadi.


Setelah disiasat kes pertama tadi, maka terjawablah siapa dia si mati itu. Rupa-rupanya, dia merupakan seorang pencuri yang dikehendaki polis kerana telah melakukan beberapa siri kecurian di rumah-rumah. Dia yang telah meninggal di dalam masjid ketika hendak mencuri peti di dalam masjid, mati terkejut melihat seekor kucing yang
melompat masuk ke dalam masjid itu. Terungkailah kes tersebut.

Setelah disiasat kes kedua pula, ternyata berlainan dari sangkaan yang awal tadi. Si dia yang mati itu ialah salah seorang pencuri yang mempunyai sindiket yang begitu besar di sana. dalam usahanya mencuba untuk mencuri barangan dari jemaah umrah, terkena batu yang dilontarkan oleh jemaah yang berada di belakang. Maka meninggallah dia di situ. Terungkailah kes tersebut.

Adapun dengan kes ketiga, satu kebenaran telah ditemui. Setelah disiasat, rupa-rupanya si mati itu merupakan seorang ustaz yang begitu santun peribadinya. Keberadaannya di situ untuk membawa adik kesayangannya yang telah terleka dengan kehidupan dunia untuk pulang bersamanya, keluar dari segala kegelapan kepada cahaya yang satu. kasih sayangnya kepada adiknya itu membawanya menemui kematia tatkala kawan adiknya telah memukul…kepala abangnya itu. Botol arak yang di pegang si mati itu merupakan botol arak adiknya. Kematian beliau membawa makna, apabila adiknya telah kembali ke jalan yang benar. SubhanaLlah, pengorbanan yang begitu besar.

Justeru, apa yang ingin saya simpulkan di sini,

-yakinilah, ketentuan ajal maut itu bukan dalam percaturan kita. Kita tiada hak memilih tempat dan masa untuk meninggal. Namun, kita punyai IKHTIAR di dunia ini untuk memilih samada hidup dalam kejahilan, atau dalam rahmat Allah.

-ajal maut itu juga tidak kira usia. Sesiapa sahaja boleh dijemput oleh Allah bila-bila masa. Bahkan, saya juga boleh meninggal dunia bila-bila masa sahaja. Maka, usia muda kita ini perlu diguna sebaik yang mungkin untuk berbuat BEKALAN, bukan terus mencipta KHAYALAN.

-sentiasa berhusnu dzan dengan apa yang berlaku. Tiada yang rugi jika kita sentiasa bersangka baik, malah mendapat pahala lagi di sisi Allah.

-pastikan hidup kita ini bernilai, kerana yang akan dinilai nanti bukan mati kita, tapi amalan hidup yang kita telah jalani.
Maka antara dia,dia, dan beliau di atas tadi, siapakah yang lebih bernilai???

Sekadar perkongsian…

Dipetik dari blog, denyut nadi perjuangan.

Sunday, November 1, 2009

.:: Teruskan Perjuangan ::.

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum w.b.t.
Syukur aku ke hadrat ILAHI kerana dengan kasih sayang dan pemurahNya, masih lagi memberikan aku kesempatan untuk menghirup udara bagi meneruskan sisa-sisa hidup ini. Selawat serta salam ke atas junjungan kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada', tabi'e, tabi' tabi'e serta mujahid mujahidah yang senantiasa thabat dalam menegakkan kalimah Lailahaillallah di atas muka bumi ini.

Subhanallah... Alhamdulillah... Allahukbar...

Syukur aku panjatkan kepada yang Esa kerana masih lagi memberikan aku nikmat untuk meneruskan hidup ini. Dan 2 nikmat yang paling besar masih lagi aku perolehi iaitu nikmat Islam dan nikmat Iman. Alhamdulillah, di saat manusia lain hanyut di bawa arus kenikmatan dunia, aku masih lagi dipilih olehNYA untuk merasai 2 nikmat terbesar itu. Saat ini, aku baru sahaja pulang daripada menghadiri satu mesyuarat pengstrukturan semula organisasi KRM. Agak panas sedikit mesyuarat sebentar tadi dengan kalimah-kalimah yang tidak sepatutnya di keluarkan. Apa yang aku kurang senang dengan musyawarah sebentar tadi adalah perkataan 'TAKSUB' yang dilontarkan oleh seseorang yang aku kira mempunyai banyak ilmu jika dibandingkan aku ini.

Salahkan dia ingin mewujudkan biah Islamiah di kampus ini. Kenapa usahanya perlu mendapat tentangan? Kenapa selepas dia dapat menarik ramai pelajar untuk mencintai Islam, kita harus menentangnya? Sehingga terkeluar perkataan 'taksub' yang aku kira terlalu kejam untuk diperkatakan tentangnya. Kita punyai akal yang waras untuk berfikir, yang mana baik, yang mana buruk. Aku ingin membawa pembaca yang bergelar penuntut di IPGM KSM ini merenung kembali 2 3 tahun lepas, sebelum kedatangnya. Adakah suasana Islam ini wujud? mungkin ada, tapi tidak seperti sekarang. Dulu, di manakah pensyarah-pensyarah yang bergelar ustaz menghilang? Untuk menyampaikan tazkirah di surau, sungguh susah. Apabila di jemput, macam-macam alasan yang diberi. Inikah yang digelar pejuang? Jika di waktu awal kemasukan aku di IPGM ini, aktiviti agama amat jarang diadakan. Tazkirah? Langsung tiada. Inikan pula usrah, jauh sekali. Namun, selepas beberapa tahun, barulah usrah ini berjalan. Tetapi, kenapakan ianya harus ditentang? Kita ingin menuju kearah kebaikan, tetapi kenapa harus ditentang. Kenapa? Kenapa?

Mungkin inilah ragam manusia terutamanya yang bergelar melayu islam. Tidak senang duduk apabila melihat orang lain berada di atas, ada sahaja tangan-tangan yang ingin menjatuhkannya kembali. Jika kita tidak berbuat apa-apa, janganlah iri hati apabila melihat orang lain yang ingin berbuat kebaikan. Berlapang dadalah kamu.

p/s: sekadar luahan apa yang terbuku di hati. sama-samalah kita memikirkannya. jika kita susah untuk berbuat kebaikan, janganlah pula ingin menjatuhkan orang lain yang ingin menyeru ke arah kebaikan. tepuk dada, tanya iman. sentiasa berhusnu dzan dengan apa yang berlaku. Tiada yang rugi jika kita sentiasa bersangka baik, malah mendapat pahala lagi di sisi Allah.

SYABAB,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Dalam keliru kau mencari identiti diri,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan sebuah kematangan,

Wahai SYABAB,
Ketekunanmu mengoborkan cita-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta Gelombang,
Ayuh, SYABAB!


-Fatimah Syarha-syabab musafir kasih