Monday, December 28, 2009

2009 Melabuhkan Tirainya & Ahlan Wasahlan 2010

Bismillahirrahmanirrahim.. assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih lagi memberikan aku peluang, ruang dan masa untuk meneruskan kehidupanku ini. Selawat serta salam ke atas junjungan tercinta Nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada’, tabi’e, tabi’ tabi’e serta para mujahid mujahidah yang senantiasa berjuang dalam menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi ini.

Subhanallah… Alhamdulillah… Allahukbar…

Alhamdulillah syukur aku panjatkan ke hadrat ILAHI kerana memberikan aku masa dan ruang untuk aku mengukir setiap bait kata yang tersemat di kalbu. Setelah sekian lama aku menyepi, kini aku kembali untuk mencoret sedikit lembaran hidupku. Rasanya sudah begitu lama jari jemari ku tidak menari-nari di atas papan kekunci laptopku. Entah mengapa, aku sendiri tidak tahu. Mungkin kerana penyakit ‘malas’ yang melanda diri. Hehe… namun hari ini, aku mengambil sedikit waktu untuk meluahkan sedikit perasaan melalui penulisan ini…
Nampaknya beberapa hari lagi tirai 2009 akan berlabuh dan 2010 akan memulakan pelayarannya. Begitu pantas masa berlalu, sudah hampir sedekad di alaf baru ini. Tahun 2009 menyimpan pelbagai kisah suka duka, pahit manis dalam kehidupanku. Namun, semuanya itu akan menjadi kenangan dan sejarah dalam aku meniti hari ke hari usiaku ini. Kenangan dan sejarah yang telah tercipta tidak dapat diubah dan ia akan tetap menjadi sejarah dan tetap terpahat di kalbu ku.

Di awal tahun 2009, dengan semangat tahun baru, aku bersama sahabat memulakan semester baru dengan azam yang menggunung. Beberapa misi harus di capai dalam menyelusuri jalan dakwah. Dan di awal tahun ini juga bermulalah usrah dengan adik-adik usrah, dan sepeninggalan baba menyambung pengajiannya menguji kami untuk terus thabat dalam mengharungi cabaran di jalan ini. Alhamdulillah dalam kesibukan, usrah kami dapat di hidupkan setiap minggu. Namun kadang-kadang terpaksa ditangguhkan kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Maklum sahajalah, kehidupan di ipgm ini senantiasa sibuk dengan tugasan-tugasan yang menggunung, lebih-lebih lagi di bulan mac dan april. Di akhir semester, dapat juga kami mengadakan rehlah untuk adik-adik usrah walaupun penyertaannya tidak semua, namun kehadiran mereka amat bermakna pada aku dan sahabat-sahabatku. Kisah rehlah ini telah aku coretkan dalam blog ini dalam entry bulan mei lepas.


Di hujung semester 3, aku bersama rakan sekelas sempat juga kami menghabiskan masa bersama untuk pergi bercuti di cameron highland. Alhamdulillah satu pengalaman yang indah bersama mereka di sepanjang perkenalan kami. Perancangan yang di buat secara mengejut, namun akhirnya dapat juga kami bercuti bersama. Waktu tu, kami baru sahaja menyelesaikan semua tugasan yang diberikan, jadi kami menggunakan sedikit masa yang terluang untuk bercuti bersama. Alhamdulillah…

Dipertengahan tahun iaitu semasa cuti semester, dapat juga aku bersama sahabat-sahabatku mendaki gunung stong. Alhamdulillah satu pendakian yang meninggalkan seribu satu kenangan buat ku. Satu pengalaman yang begitu berharga. Walaupun pendakian itu amat meletihkan, namun aku puas kerana dapat menawan puncaknya yang berketinggian 1400m dari aras laut. Sebelum bermulanya semester baru, aku bersama-sama sahabatku sempat juga turun ke manek urai sekejap untuk merasai suasana ‘panas’ ketika itu. Alhamdulillah, kemenangan tetap di pihak yang inginkan tertegaknya Islam di bumi Malaysia ini.

Bermulanya semester kedua di tahun 2009, kesibukan di awal semester jelas terasa. Di awal semester sehinggalah ke hujung semester 4, senantiasa sibuk dengan aktiviti-aktiviti di ipgm. Di awal semester, sibuk dengan perkhemahan BIG, di mana perkhemahan ini 100% di uruskan sendiri oleh kami guru pelatih. Dipertengan semester pula, negara digegarkan pula dengan wabak H1N1 dan ipgm aku tidak ketinggalan dalam merasai tempiasnya sehinggakan terpaksa diberi cuti kerana wabak itu. Namun, alhamdulillah tiada seorang pun dalam kalangan guru pelatih di ipgm aku dijangkiti wabak berbahaya itu. Di semester 4 ini juga, pelbagai aktiviti yang telah dijalankan di ipgm. Antaranya ialah kejohanan hoki piala tuan haji othman yang mana pasukan kelas matematik semester 4 menduduki tempat ketiga dalam kejohanan kali ke 3 itu. Kami merampas kembali kedudukan itu selepas terlepas pada kejohanan kali ke-2 tahun lepas. Di samping itu juga, pertandingan kawad kaki juga diadakan sempena menyambut ulang tahun ke 10 penubuhan ipgm ksm. Selepas hampir 3 minggu berlatih setiap petang di bawah panas terik cahaya matahari, akhirnya usaha kami dibalas dengan mendapat tempat ke 3 dalam pertandingan kawad kaki itu.


Bulan oktober boleh dikatakan bulan yang paling sibuk kerana di awal bulan banyak tugasan yang perlu disiapkan dan dihantar. Manakala di akhir bulan pula aku sibuk dengan kem matematik dan juga perkhemahan unit beruniform. Kem matematik ini telah di adakan di marang manakala perkhemahan unit beruniform di adakan di padang ipgm. Perkhemahan tersebut terpaksa diadakan di padang institut kerana kekurangan budget dan juga keadaan cuaca yang tidak menentu. Sebenarnya perkhemahan tersebut dirancang untuk diadakan di kuantan, pahang dengan kerjasama 3 lagi ipgm di pantai timur ini. Namun disebabkan penularan wabak H1N1 pada bulan ogos lepas, jadi perkhemahan itu terpaksa ditangguhkan dan diadakan di ipgm masing-masing. Selesai perkhemahan, aku menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan akhir semester. Selesai sahaja peperiksaan pada petang khamis 19 november 2009, aku bersama sahabat bergegas ke tanjung chap pada sebelah malamnya kerana kami ada mukhayyam perdana ipt negeri kelantan. Alhamdulillah, selesai mukhayyam bermulalah cuti semester aku.

Sepanjang cuti semester ini, aku banyak menghabiskan masaku bersama keluarga di rumah dan juga bersama sahabat-sahabat aku di zaman sekolah dahulu. Di awal cuti semester, bumi kelantan senantiasa di basahi dengan air hujan yang mana mengakibatkan beberapa kali banjir di sesetangah tempat di kelantan. Alhamdulillah, kampungku tidak ditenggelami air banjir. Dan sejak mula cuti lagi, kesihatanku agak terganggu. Dan hampir 4 minggu aku asyik batuk je sejak hari raya eiduladha lagi. Mungkin ada hikmah di sebalik semuanya ini.

Dan dalam aku melayari hidup ini, aku tidak lepas daripada masalah. Masalah peribadi yang menghantui aku setelah sekian lama. Yang menguji kesabaran aku. Kesabaran aku di uji di akhir bulan april dan sepanjang bulan mei. Sebenarnya waktu itu emosi aku terganggu dan mungkin disebabkan itulah keputusan final ku untuk semester 3 kurang memberangsangkan. Dan sekali lagi pada bulan ogos, tekanan kembali ingin menjarah diriku. Memang aku berada dalam keadaan tertekan pada malam itu. Entah mengapa. Mungkin kerana diriku sendiri. Membiarkan diri dikawal emosi. Namun, Alhamdulillah aku menemui penawarnya. Apakah penawarnya? Itulah dia ayatulquranulqarim… terasa damai di hati, ketenangan kembali menguasai diri. Teringat aku kisah saidina Umar ibni al-Khatab, hatinya dilembutkan dengan alunan suci ayat-ayat al-Quran daripada adiknya. Itulah dia kelebihan al-Quran, dapat melembutkan hati-hati yang keras dan membawa ketenangan di hati. Alhamdulillah.. setelah sekian lama berlalu, kini aku redha. Dan pengalaman itu jua lah yang mematangkan aku. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Itulah bukti cintanya Allah kepada setiap makhluk ciptaanNYA. Jika hari ini Allah menguji kita dengan pelbagai bentuk cabaran dan dugaan, namun ingatlah bahawa setiap ujian itu adalah bukti bahawa Allah sentiasa mengingati kita sebagai hambaNYA. Dan setiap ujian itu jugalah yang mematangkan kita dan mengajar kita erti hidup sebagai seorang hamba.
Kini 2009 akan melabuhkan tirainya dan 2010 akan memulakan pelayarannya. Mungkin setiap daripada kita sudah menetapkan azam masing-masing di tahun 2010 nanti dan diharapkan kita tidak lupa untuk menetapkan azam supaya iman kita sentiasa bertambah dan amal ibadah kita juga akan dipertingkatkan di tahun 2010 nanti.


p/s: sebagai ingatan bersama, ‘sesiapa yang didapati bersalah di mahkamah dunia belum tentu dia juga bersalah di mahkamah Allah di masyar kelak’. Sebagai renungan untuk apa yang telah berlaku di Malaysia sepanjang tahun 2009. =)

No comments:

SYABAB,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Dalam keliru kau mencari identiti diri,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan sebuah kematangan,

Wahai SYABAB,
Ketekunanmu mengoborkan cita-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta Gelombang,
Ayuh, SYABAB!


-Fatimah Syarha-syabab musafir kasih