Assalamualaikum w.b.t.
Subhanallah... Alhamdulillah... Allahuakbar...
Syukur dipanjatkan kepadaNya kerana masih lagi memberikan aku peluang untuk terus merasai nikmat hidup di dunia ini. Syukur juga aku panjatkan kerana masih lagi memberikan aku merasai 2 nikmat yang terbesar iaitu nikmat Islam dan juga nikmat Iman.. Alhamdulillah...
Transformasi... mungkin dalam kalangan kita sudah terbiasa dengan perkataan itu bukan? Transformasi atau dengan kata lainnya adalah perubahan.. perubahan hidup seorang hamba yang melalui beberapa fasa dalam kehidupannya. Bercakap soal transformasi, aku baru sahaja selesai seminar penyelidikan tindakan yang telah dijalankan pada 20 dan 21 september yang lalu yang bertemakan 'Penyelidikan Berinovasi Menjana Transformasi Pendidikan’.
Alhamdulillah, perjalanan seminar berjalan dengan lancar dan berjaya. Pembentangan pun boleh dikatakan hebat dari para pembentang. Pelbagai idea dicambahkan semasa pembentangan itu. Aku sendiri dengan tajuk Penggunaan Kaedah Cara Mudah Sifir Darab (CaMuSiDa) 5 hingga 9 Dalam Meningkatkan Penguasaan Murid Tahun 4 Menyelesaikan Soalan Operasi Darab. CaMuSiDa, satu kaedah baru yang diperkenalkan pengkaji sendiri.. hehe.. satu kaedah unik untuk membina sifir yang dipelopori oleh pengkaji sendiri.. insyaAllah, jikalau diberikan kesempatan, aku akan cuba berkongsi kaedah itu di laman sesawang ini.
Namun di sini, bukan soal seminar yang ingin dihebahkan tapi tentang soal transformasi hidup seorang hamba. Selama lebih 23 tahun aku menjalani fasa hidup ini, pelbagai transformasi hidup yang telah aku alami. Dan transformasi itulah juga yang mematangkan aku untuk meneruskan kehidupan di masa mendatang yang makin mencabar. Hidup yang aku jalani dipenuhi dengan pelbagai pengalaman yang berharga.
Transformasi... mungkin kita semua pernah mengalami transformasi dalam hidup masing-masing. Dan selama mana aku bertapak di dunia ini, aku telah melihat pelbagai telatah manusia. Pelbagai macam manusia telah aku jumpai.
Jika dulu dia seorang yang jahil agama namun sekarang dia seorang yang alim dalam bidang agama.
Jika dulu dia seorang yang agak sosial tapi kini dia seorang yang menjaga batas-batas pergaulannya.
Jika dulu dia seorang yang agak liar tapi kini dia seorang yang penuh dengan adab sopan sebagai seorang Islam.
Jika dulu dia seorang yang kaki masjid, tapi kini dia seorang kaki lepak.
Jika dulu dia seorang yang berketayap putih/bertudung labuh tapi kini ketayapnya/tudung labuhnya entah hilang ke mana.
Jika dulu dia seorang yang alim dan lantang bercakap soal hukum hakam Allah, tapi kini dia sendiri yang melanggar hukum Allah itu.
Itulah transformasi hamba. Transformasi yang aku alami sendiri dan lihat sendiri di depan mata aku ini selama mana hidup. Manusia pengalami fasa transformasi yang berbeza-beza. Ada yang berubah daripada baik kepada lebih buruk, dan ada yang berubah dari buruk kepada yang lebih baik. Semua itu telah aku alami di sekeliling aku sendiri.
Di IPG aku sendiri, aku melihat sudah ramai yang mengalami transformasi. Alhamdulillah, transformasi yang baik mereka alami. Jika dulu malu-malu untuk bertudung litup, tapi sekarang merekalah penggerak kepada gerakan tarbiyah di ipg. Teruskan transformasi ke arah kebaikan.
Tapi ingatlah bahawa untuk kita mencapai sesuatu kejayaan itu memang sukar, tetapi untuk mengekalkan kejayaan yang kita kecapi itu lebih sukar daripada semasa kita ingin mencapainya. Begitu juga dengan transformasi yang di alami sekarang, sungguh sukar untuk mengekalkannya. Terkadang kita tersungkur. Namun kita harus bangkit kembali mempertahankan apa yang telah kita capai itu demi sebuah kehidupan yang lebih diberkatiNya.
“Katakanlah (Muhammad) Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sungguh Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu” (Ali’Imran ayat 26)
“sesungguhnya Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka sendiri mengubah nasib mereka’’ (Ar-Ra’d ayat 11)
“InnAllaha La Yughaiyiruma Bi Qaumin Hatta Yughaiyiruma Bi Anfusihim”
No comments:
Post a Comment