Sunday, June 28, 2009
Amalan Di Bulan Rejab: Antara Yang Palsu Dan Tulen
Segala puji bagi Allah Ta ‘ala yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada kita sebagai hamba-hambaNya. Di antara nikmat-nikmat tersebut ialah musim-musim ibadah yang diselang-selikan untuk hamba-hambaNya mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala dari semasa ke semasa.
Sebagai manusia, pastinya mempunyai macam-macam kelemahan. Akan tetapi pada masa yang sama, manusia juga mempunyai kecergasan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita telah diarahkan supaya menjaga masa dan menjaga hak-hak khaliq dan makhluk.
Hadith Salman wajarlah menjadi pedoman kita dalam perkara ini. Kisah Salman dengan Abu Al-Darda’ adalah seperti berikut:
عن أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ آخَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ سَلْمَانَ وَأَبِي الدَّرْدَاءِ فَزَارَ سَلْمَانُ أَبَا الدَّرْدَاءِ فَرَأَى أُمَّ الدَّرْدَاءِ مُتَبَذِّلَةً فَقَالَ لَهَا مَا شَأْنُكِ قَالَتْ أَخُوكَ أَبُو الدَّرْدَاءِ لَيْسَ لَهُ حَاجَةٌ فِي الدُّنْيَا فَجَاءَ أَبُو الدَّرْدَاءِ فَصَنَعَ لَهُ طَعَامًا فَقَالَ كُلْ قَالَ فَإِنِّي صَائِمٌ قَالَ مَا أَنَا بِآكِلٍ حَتَّى تَأْكُلَ قَالَ فَأَكَلَ فَلَمَّا كَانَ اللَّيْلُ ذَهَبَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُومُ قَالَ نَمْ فَنَامَ ثُمَّ ذَهَبَ يَقُومُ فَقَالَ نَمْ فَلَمَّا كَانَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ قَالَ سَلْمَانُ قُمْ الْآنَ فَصَلَّيَا فَقَالَ لَهُ سَلْمَانُ إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَلِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ [ صَدَقَ سَلْمَانُ.][1]
Maksudnya: Terdapat riwayat daripada Abu Juhfah katanya: Rasulullah r telah mempersaudarakan antara Salman dan Abu al-Darda’. Pada suatu hari Salman menziarahi Abu al-Darda’ dan dia melihat isteri Abu al-Darda’ tidak terurus. Salman bertanya kepadanya, “Kenapa kamu begini?” Isteri Abu al-Darda’ menjawab, “Saudaramu, Abu al-Darda’ tidak berhajat kepada dunia.” Apabila Abu al-Darda’ datang dan membuat hidangan untuk Salman, Salman mengajak beliau makan sekali. Abu al-Darda’ menjawab, “Saya Puasa.” Salman berkata, “Saya tidak akan makan jika kamu tidak makan.” Abu al-Darda’ pun makan bersama. Apabila tiba waktu tidur di permulaan malam, Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Salman menyuruhnya tidur, lalu beliau pun tidur. Tidak lama kemudian Abu al-Darda’ bangun untuk solat malam. Sekali lagi Salman menyuruhnya tidur. Apabila sampai penghujung malam, Salman berkata, “Sekarang bangun.” Mereka pun bangun dan solat malam. Kemudian Salman berkata kepada Abu al-Darda’ “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab terhadap Tuhanmu, tanggungjawab terhadap badanmu, tanggungajawab terhadap keluargamu; jadi hendaklah kamu melaksanakan tanggungjawab kamu kepada mereka semua.” Abu al-Darda’ kemudiannya pergi bertanya Rasulullah r tentang perkara ini lalu Baginda r berkata, “Benar kata Salman.”
Di samping itu kita juga mestilah mengetahui bahawa amalan yang terbaik di sisi Allah Ta‘ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.
وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ.[2]
Maksudnya: Sebaik-baik amalan di sisi Allah Ta'ala ialah yang berterusan walaupun sedikit.
Semua ini mestilah dilakukan dengan penuh keikhlasan dan menepati garis panduan yang telah diletakkan oleh Rasulullah s.a.w. Sebagaimana yang kita semua maklum, al-Ikhlas dan menepati al-Sunnah adalah dua syarat penerimaan amalan kita di sisi Allah Ta‘ala selepas wujud keimanan.
Perkara pertama adalah amat penting. Sesuatu amalan yang tidak disulami al-Ikhlas akan tinggal amalan yang kering dan tidak bermaya. Penelitian terhadap sirah dan sejarah para ulamak akan banyak membantu individu muslim untuk menerapkan sifat mulia ini di dalam kehidupan hariannya.
Selepas memastikan kewujudan al-Ikhlas, datanglah giliran al-Sunnah untuk diterapkan dalam kehidupan kita. Apabila melihat kepada al-Sunnah pastilah perbincangan di sini menjurus kepada dua perkara iaitu kesahihan hadith dan ikutan terhadapnya.
Orang yang mahir dalam disiplin hadith akan digelar ‘Sahibu hadith’ manakala orang yang menitik-beratkan ikutan terhadap hadith akan digelar ‘Sahibu sunnah.’ Apapun gelarannya, kedua-duanya amat diperlukan oleh kita di Malaysia khususnya dan di Nusantara umumnya.
Di dalam lembaran-lembaran berikut, perbincangan akan dihalakan kepada tuntutan al-Sunnah dalam tiga bulan tertentu iaitu bulan Rejab, Sya‘ban dan Ramadhan. Secara umumnya, bersesuaian dengan tajuk perbincangan, kita akan menekankan amalan-amalan yang disinari cahaya al-Sunnah. Amalan-amalan yang ditutup oleh kegelapan al-Bid‘ah pula hanya akan disentuh secara ringkas sahaja.
Ini semua dilakukan berdasarkan ayat-ayat al-Quran, hadith-hadith Nabi s.a.w. serta pandangan-pandangan para ulamak yang muktabar.
Semoga perbincangan yang serba ringkas dapat sedikit-sebanyak membantu kita di dalam beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w. serta memartabatkannya di dalam kehidupan seharian kita demi untuk membuktikan ketulusan cinta kita kepada Allah Ta‘ala, Tuhan sekelian alam. Allah jualah yang dipohon agar memberi kita ganjaran yang berlipat ganda dan mengampunkan kesilapan-kesilapan kita di dalam usaha ini. Amin.
1- Tuntutan al-Sunnah: Rejab.
Berkenaan dengan bulan Rejab, sebenarnya tidak terdapat dalil-dalil yang menentukan kelebihan bulan ini. Justeru, dapatlah diringkaskan bahawa bulan ini samalah dengan bulan-bulan lain. Untuk mendapat gambaran ringkas tentang tuntutan al-Sunnah di dalam bulan ini perhatikanlah kenyataan-kenyataan berikut:
1- al-Quran menjelaskan bahawa bulan Rejab adalah salah satu daripada al-Ashhur al-Hurum (bulan-bulan haram). Firman Allah Ta‘ala (al-Taubah 9:36):
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَةِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ 3]
Maksudnya: Sesungguhnya waktu telah kembali seperti keadaannya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Satu tahun mempunyai 12 bulan. Di kalangannya 4 bulan haram, 3 berterusan; Zul Qi‘dah, Zul Hijjah dan al-Muharram serta Rejab kabilah Mudar di antara Jumada dan Sya‘ban.
2- Tiada solat khas dalam bulan Rejab:
وقال النووي رحمه الله تعالى "واحتج به العلماء على كراهة هذه الصلاة المبتدعة التي تسمى الرغائب قاتل الله واضعها ومخترعها فإنها بدعة منكرة من البدع التي هي ضلالة وجهالة وفيها منكرات ظاهرة وقد صنف جماعة من الأئمة مصنفات نفيسة في تقبيحها وتضليل مصليها ومبتدعها ودلائل قبحها وبطلانها وتضلل فاعلها أكثر من أن تحصر" [4]
Maksudnya: Imam al-Nawawi telah berkata ‘Para ulamak telah berhujjah dengannya ke atas kebencian solat yang yang bid‘ah ini yang dinamakan al-Raghaib. Semoga Allah memerangi pemalsunya dan penciptanya. Sesungguhnya ia adalah bid‘ah yang munkar yang terdiri daripada bid‘ah-bid‘ah yang sesat dan kejahilan. Di dalamnnya terdapat kemungkaran yang jelas. Sekumpulan para ulamak telah menulis tulisan-tulisan yang bermutu dalam memburukkannya dan menyesatkan orang yang bersolat dengannya dan menciptanya. Dalil-dalil berkenaan kekejiannya, kebatilannya dan kesesatan pembuatnya amat banyak sehingga tidak terbilang.
وقال الحافظ ابن رجب رحمه الله تعالى " فأما الصلاة فلم يصح في شهر رجب صلاة مخصوصة تختص به والأحاديث المروية في فضل صلاة الرغائب في أول جمعة من شهر رجب كذب وباطل لا تصح وهذه الصلاة بدعة عند جمهور العلماء ... وأول ما ظهرت بعد الأربعمائة فلذلك لم يعرفها المتقدمون ولم يتكلموا فيها " ا.هـ( لطائف المعارف / 228) .
Maksudnya: Berkenaan dengan solat, di dalam bulan Rejab tidak terdapat solat yang khas untuk bulan ini. Hadith-hadith yang diriwayatkan berkenaan kelebihan solat al-Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah penopuan dan batil serta tidak sah. Solat ini adalah bid‘ah di sisi kebanyakan ulamak… Kali pertama solat ini muncul ialah selepas tahun 400. Oleh sebab itulah ianya tidak diketahui oleh ulamak terdahulu dan mereka tidak membincangkannya.
3- Berpuasa di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:
قال ابن القيم "كل حديث في ذكر صوم رجب وصلاة بعض الليالي فيه فهو كذب مفترى"[5]
Maksudnya: Semua hadith yang menyatakan puasa bulan Rejab dan solat sebahagian malam-malamnya adalah penipuan yang direka.
وقال الحافظ ابن حجر " لم يرد في فضل شهر رجب ولا في صيامه ولا صيام شيء منه معيَّن ولا في قيام ليلة مخصوصة فيه حديث صحيح يصلح للحجة " ا.هـ تبيين العجب / 11 ( وأنظر : لطائف المعارف /228 )
Maksudnya: Tidak terdapat hadith sahih yang boleh dijadikan hujah berkenaan kelebihan bulan Rejab, puasa bulan ini, puasa hari-hari tertentu bulan ini mahupun bangun malam tertentu pada bulan ini.
4- Membuat umrah di bulan Rejab tidak mempunyai keistimewaan tertentu:
Setakat ini, penulis masih belum berjumpa dengan hadith sahih yang menerangkan kelebihan umrah di bulan Rejab. Ya, terdapat beberapa riwayat golongan Syi‘ah yang mengatakan umrah bulan Rejab adalah umrah yang terbaik. Akan tetapi Ahl al-Sunnah tidak menerima periwayatan mereka di samping riwayat tersebut tidak bersambung kepada Rasulullah s.a.w.
5- Malam al-Isra’ wal-Mi‘raj tidak sah pada malam ke 27 bulan Rejab:
قال الحافظ ابن كثير الدمشقي رحمه الله تعالى: (وقد أورد-أي عبدالغني المقدسي- حديثاً لا يـصـحّ سـنـــده ذكرناه في فضائل شهر رجب أن الإسراء كان ليلة السابع والعشرين من رجب والله أعلم. ومن الناس من يزعم أن الإسراء كان أول ليلة جمعة من شهر رجب, وهي ليلة الرغائب التي أُحدثت فيها الصلاة المشهورة, ولا أصل لذلك والله أعلم) [6]
Maksudnya: al-Imam Ibnu Kathir telah berkata (Abdul Ghani al-Maqdisi telah meriwayatkan sebuah hadith yang tidak sah sanadnya dan kami telah jelaskan dalam ‘Fadail Shahr Rajab’ bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada malan ke-27 bulan Rejab, Allah jua yang lebih mengetahui. Ada juga di antara manusia yang menyangka bahawa peristiwa al-Isra’ telah berlaku pada Jumaat pertama dalam bulan Rejab, iaitulah malam al-Raghaib yang dicipta padanya solat yang masyhur, sedangkan tiada asal bagi perkara ini, Allah jua yang lebih mengetahui.)
Kesimpulannya, amalan-amalan di bulan Rejab adalah sama seperti amalan-amalan di bulan-bulan lain. Perkara yang membezakannya ialah bulan ini tergolong dalam bulan-bulan haram yang mana kezaliman dan peperangan tanpa sebab amat dimurkai oleh Allah Ta’ala berbanding dengan bulan-bulan lain.
[1] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Man Aqsama ‘ala Akhihi Liyuftir, No. 1832.
[2] HR al-Bukhari, No. 5523. Juga Muslim, No. 782.
[3] HR al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Hajjah al-Wida’, No. 4054. Juga Muslim, Kitab al-Qasamah Wa al-Muharibin Wa al-Qisas Wa al-Diyat, BabTaghliz Tahrim al-Dima’ Wa al-A‘rad Wa al-Amwal, No. 3179.
[4] Sila lihat al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Jil. 8 Hlm. 20.
[5] Sila lihat Ibnu al-Qayyim, al-Manar al-Munif, Hlm. 96.
[6] Sila lihat Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jil. 3 Hlm. 136-137.
[7] HR al-Bukhari, Kitab al-Saum, Bab Saum Sya‘ban, No. 1834. Juga Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Siyam al-Nabi s.a.w. Fi Ghair Ramadhan Wa Istihbab An La Yukhliya Shahran ‘An Saum, No. 1957.
[8] HR Ibnu Abi ‘Asim, Ibnu Hibban dan lain-lain, dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1144.
[9] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah al-Saum Fi al-Nisf al-Thani Min Sya‘ban Li Hal Ramadhan, No. 669.
[10] HR Muslim, Kitab al-Siyam, Bab La Taqaddamu Ramadhan Bi Saum Yaum Wa La Yaumain, No. 1912.
[11] HR al-Tirmizi, Kitab al-Saum, Bab Ma Ja’ Fi Karahiyah Saum Yaum al-Syak, No. 622. Dihukum Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud, No. 686.
Saturday, June 27, 2009
2 ESQ Di Minggu Pertama Semester Baru
Assalamualaikum… segala puji bagi Allah yang maha Sempurna yang telah menciptakan segala sesuatu mempunyai peranan masing-masing di alam raya ini. Hanya Allah yang wajib disembah, tiada tuhan selainNYA. Selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada’ yang tegar berjuang mempertahan kedaulatan Islam, para pejuang-pejuang agama Allah yang sentiasa berjuang dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Alhamdulillah…
Syukur kepada Allah kerana masih lagi meniupkan roh ke dalam jasadku ini. Segala puji bagiNYA.
Subhanallah…
Alhamdulillah…
Allahukbar…
Seminggu pertama di semester baru sudah menunjukkan kesibukan. Mungkin semester ini akan lebih sibuk dari semester yang sebelumnya. Minggu pertama di semester baru, tugasan yang diberi sudah agak banyak. Jumlah pensyarah yang mengajar untuk semester ini pun lebih banyak dari semester lepas. Ada satu subjek yang diajar oleh 3 orang pensyarah yang berlainan jabatan. Kesibukan di minggu pertama sudah dirasai apabila diberi beberapa tugasan oleh pensyarah. Ada satu tugasan yang perlu disiapkan pada minggu ini merupakan ‘assignment’ aku ketika di semester 1 dahulu yang terpaksa di siapkan dalam masa 2 minggu. Namun untuk semester baru ini, aku terpaksa menyiapkannya dalam masa beberapa hari sahaja. Memang di kalangan kami guru pelatih semester 4 merasakan semester ini memang sibuk. Sehinggakan ada beberapa orang sahabatku yang memegang jawatan dalam satu biro terpaksa meletakan jawatan kerana merasakan tidak mampu untuk memikul bebanan tanggungjawab itu. Namun, itu hak individu masing-masing.
Dan untuk seminggu pertama di semester baru ini, aku telah mengikuti 2 program ESQ. ESQ pertama yang aku sertai ialah untuk pelajar KPLI yang baru masuk dan ESQ kedua ialah program jati diri cemerlang di sekolah menengah sains machang, di mana aku bersama 2 orang lagi sahabatku di jemput khas untuk memberikan sesi ESQ kepada para pelajar. Di sini apa yang dapat aku katakana untuk ESQ pelajar KPLI adalah kurang berjaya. Malam itu aku bersama sahabatku yang lain seperti biasa membantu baba dalam program ESQ itu. Mungkin kerana sedikit kesilapan, pengisian pada malam itu kurang berkesan. Tidak seperti yang pernah kami buat sebelumnya. Namun, itulah pengalaman. Pengalaman yang cukup berharga, yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Yang mengajar kami erti kehidupan. Setiap perancangan tidak semestinya akan terlaksana seperti yang dirancangkan. Pengalaman malam itu memberikan kami kekuatan dan kesedaran untuk sesi ESQ seterusnya apabila pelajar ambilan julan 2009 masuk nanti. insya’allah, kami akan memberikan sesi ESQ kepada mereka.
Dan untuk ESQ kedua yang aku serta ialah untuk pelajar sekolah menengah sains machang. Untuk sesi ini, aku bersama sahabatku menggunakan pengalaman kami sebagai fasilitator sebelum ini, memberikan sesi ESQ kepada para pelajar. Namun apa yang dapat akau katakana disini ialah apa yang dirancang tidak semuanya akan mengikut apa yang telah tercatat di atas sehelai kertas. ‘kita merancang, Allah juga merancang, namun perancangan Allah lebih sempurna’…. Semasa kami baru sahaja mengambil alih majlis, kami dimaklumkan untuk berhenti lebih awal iaitu lebih kurang pada pukul 10.30 malam, sedangkan pada masa itu jam sudah menunjukkan pukul 10.15 malam. Jadi kami terpaksa mempercepatkan perancangan kami dan satu sesi penting yang dirancang terpaksa dibatalkan. sesi teman sejati dan juga lafaz yang tersimpan yang dirancang pada awalnya terpaksa diubah dan sesi teman sejati dibatalkan. semasa permulaan sesi, kami agak kalut kerana masa yang sangat suntuk diberikan. Namun, kami menggunakannya sebaik mungkin. Walaupun masa yang diberikan tidak sampai 20 minit, tapi kami mengambil masa yang agak lama untuk sesi lafaz yang tersimpan itu. Lebih kurang pukul 11 malam baru sesi kami tamat. Alhamdulillah.. walaupun agak kalut dan sedikit tertekan, sesi itu dapat juga menyentuh hati para peserta sehingga menitiskan air mata untuk kedua ibu bapa mereka. Walaupun lelaki dengan egonya, tapi ada juga yang menangis tersedu-sedu semasa meluahkan perasaan sayang dan cinta kepada ibu ayahnya di atas sehelai kertas yang akan diposkan kepada ibu ayah mereka nanti.
subhanallah… kenapa begitu susah untuk kita melafazkan perasaan sayang kepada kedua orang tua kita? Kenapa? Adakah selepas mereka meninggalkan dunia ini untuk selamanya barulah kita akan menungkapkan kata keramat sayang kepada mereka? Namun, pada masa itu semuanya sudah terlambat. mungkin kita tidak sedar, kita jarang sekali mengungkapkan ucapan keramat ‘sayang’ kepada ibu bapa kita. Begitu berat untuk kita melafazkan perkataan keramat itu. Kenapa? Kenapa? Aku tidak mengatakan kepada sesiapa, tapi kepada diriku ini juga. Kadang-kala aku menangis terkenangkan segala pengorbanan kedua orang tua ku yang telah bersusah payah membesarkan aku menjadi manusia seperti sekarang. Tidak terhingga jasa mereka kepadaku. Mengapakah sukar menyusun bicara meluahkan rasa, menuturkan sayang? Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah, Cumalah ungkapan bisu yang melindungkan kalimah rahsia… masih ku biarkan waktu melarikan lafaz kasih ku pada mu… aku sayangkan mereka.. aku sayangkan meraka.. aku sayangkan mereka… hmmm…
Dan Alhamdulillah, lebih kurang pukul 1 pagi kami sampai di institut kami. Pengalaman kedua aku bersama sahabat membuat sesi ESQ kepada pelajar sekolah menengah. Pengalaman yang sungguh bermakna untuk aku, seorang bakal guru kelak.
Monday, June 15, 2009
XPDC Remaja Khatam Al-Quran Di Puncak Gunung Stong
Selesai solat, kami membaca al-mathurat. Indahnya terasa di hati bersama-sama sahabat sefikrah di tengah hutan rimba mengingati Sang Pencipta. Alunan muzik rimba tidak kedengaran kerana bacaan al-mathurat. Subhanallah… indahnya suasana ini. Sungguh berbeza dengan program yang wajib aku sertai semasa di ipgm iaitu bina insan guru dahulu. Walaupun namanya untuk membina insan guru namun pengisian rohani langsung tidak dititikberatkan. Selesai menjamah makanan rohani, kami semua menikmati makan malam yang telah disiapkan sebelum solat lagi. Sungguh menyelerakan walaupun dengan makan nasi yang kurang masak dan hangit, namun semuanya sedap bagi kami kerana kelaparan selepas kepenatan mendaki. Selesai makan, pengarah program meminta semua peserta berkumpul kerana kami akan ‘berjalan malam’ di dalam hutan rimba itu. Tanpa di duga, hujan turun membasahi bumi. Semua orang sibuk mengemaskan beg masing-masing supaya tidak basah terkena hujan dan aktiviti malam itu terpaksa dibatalkan. Nasib baik di tempat kami berkhemah itu ada sebuah surau yang diperbuat daripada buluh yang telah dibina beberapa tahun lalu. Jadi surau itulah yang menjadi tempat kami berteduh untuk seketika sambil mendengar cerita daripada guide tentang gunung stong. Pada masa itu, jam telah menunjukkan pukul 10 malam. Guide yang bersama kami itu teruja ingin mengetahui tentang program kami kerana tajuk program itu telah menarik minatnya. Khatam al-Quran di puncak gunung stong. Guide itu juga ada menceritakan tentang gerakan kristian dari singapura yang telah menawan gunung stong beberapa tahun yang lalu. Menurut guide itu, gerakan kristian begitu aktif menyebarkan agama mereka terutamanya kepada orang-orang asli. Maklumlah kawasan pergunungan itu adalah antara kawasan orang asli. Mereka turut berbangga kerana kami semua mengadakan program seperti itu kerana sekurang-kurangnya ada juga pengisian dan objektif menawan puncak gunung stong bukan sahaja untuk suka-suka seperti pendaki lain.
Namun apa yang dapat dikatakan di sini ialah gerakan kristian telah mendahului islam dalam penyebaran agama mereka. Gerekan kristian begitu aktif sampai ada yang sanggup berkahwin dengan orang asli dalam penyebaran agama mereka. Itulah yang diperkatakan oleh guide kepada kami semua. Subhanallah… semoga ISLAM akan terus berkembang di dunia ini. Hujan berhenti selepas sejam menurunkan rahmat ke bumi. Khemah yang akan menjadi tempat tidur kami basah ditimpa hujan. Dan ramai yang sudah ‘syahid’ di dalam surau. Memandangkan keadaan tidak mengizinkan peserta untuk tidur di bawah khemah, pengarah member kebenaran untuk tidur di dalam surau. Namun, tidak semua yang tidur di sana kerana surau itu agak kecil dan tidak dapat menampung kami semua. Ada beberapa orang yang tidur di bawah khemah. Namun, aku bersama seorang sahabatku masih lagi mencari tempat untuk tidur begitu juga pengarah program. Akhirnya kami mengambil kesempatan untuk tidur di kawasan lapang beralaskan tikar. Kami tidur berselimutkan hutan rimba dan berbumbungkan langit. Alunan muzik rimba menemani tidur kami.
Inilah serba sedikit perkongsian pengalaman hidupku bersama sahabat menawan puncak gunung. Satu pengalaman yang begitu berharga dan begitu berguna untuk aku suatu ketika nanti apabila bergelar guru kelak. Pendakian yang menguji ketahanan fizikal dan mental di samping menghayati alam ciptaan Allah yang Maha Esa. Bersesuaian dengan dengan tema program ini iaitu ALLAH MAHA BESAR. Sepatutnya program seperti inilah yang patut diterapkan semasa bina insan guru bagi melahirkan guru-guru yang berkualiti dan mempunyai pekerti yang mulia. Semoga perkongsian ini mendapat manfaatnya untuk semua dan boleh mencetuskan idea untuk melaksanakan program yang sama kepada bakal-bakal guru.
Sunday, June 7, 2009
Bingkisan Cuti
Assalamualaikum w.b.t… segala puji bagi Allah yang menciptakan apa yang ada di langit dan di bumi serta yang ada di antara kedua-duanya. Dia lah yang maha menguasai seluruh alam raya ini. Tiada kuasa yang dapat menandingi kekuasaanNYA. Selawat serta salam ke atas kekasihNYA rasulullah s.a.w. ahli keluarga baginda, para sahabat serta para-para pejuang agama Allah yang sentiasa berjuang dalam menegakkan kalimah Haq di atas muka bumi ini.
Subhanallah…
Alhamdulillah…
Allahukbar…
Alhamdulillah, dalam kesempitan masa, masih lagi diberikan sedikit ruang untuk aku mencoretkan sedikit bingkisan hidupku. Sebelum bermulanya cuti semester ini, aku bersama rakan-rakan seperjuangan di IPGM KSM telah selamat bertempur dengan final kami. Dan Alhamdulillah, final itu dapat aku jawab walaupun ada beberapa permasalahan yang aku sedikit tidak puas hati semasa menjawabnya. Tetapi Alhamdulillah, mungkin untuk final ini akan mencapai target aku untuk semester lepas. Selepas menghadiri program di dungun bulan 4 lepas, aku bersama-sama sahabat telah melakukan beberapa program untuk wadah perjuangan kami. Aku bersama sahabat-sahabat usrah yang lain dan juga mad’u masing-masing sempat menghabiskan masa lebih kurang separuh hari berehlah di taman rekreasi jeram linang. Alhamdulillah program itu dapat mengeratkan lagi hubungan kami bersama mad’u masing-masing. Rehlah itu juga di serta oleh baba yang merupakan naqib dan juga merangkap kepada pensyarah penasihat untuk kumpulan usrah di bumi IPGM KSM. Dalam berehlah, kami sempat juga memberikan kejutan kepada baba dengan menyambut hari lahirnya yang ke-42. Sebenarnya kami menyambutnya awal sehari sebelum hari lahirnya iaitu 11 Mei. Selepas lebih kurang separuh hari menghabiskan masa dengan mandi manda, makan dan juga dijamu dengan sedikit hidangan istimewa tazkirah yang diberikan oleh baba, kami semua berangkat pulang ke IPGM KSM. Insya’allah, semester akan datang akan diadakan lagi rehlah seperti ini tetapi di tempat lain pula.
Satu lagi program yang sempat diadakan sebelum menjelang final ialah tayangan istimewa sempena menyambut hari ibu. Alhamdulillah, kedatangan penonton mencapai target. Walaupun pada malam yang sama diadakan satu lagi program lain di dewan besar, namun kedatangan penonton untuk program kami ini menampakkan kesedaran diri masing-masing dalam menghargai pengorbanan seorang ibu kepada anak-anaknya. Tayangan itu sebenarnya di bawah seliaan biro agama dan pendidikan IPGM KSM. Selain tayangan istimewa, malam itu juga diadakan kutipan derma amal untuk tabung biro agama, kuiz, serta sedikit jualan makanan kepada penonton yang datang. Dan Alhamdulillah, tayangan berjalan dengan lancar. Ada juga titisan air mata yang dapat aku perhatikan semasa mereka menonton tayangan pada malam itu. Subhanallah… dan di sini, aku juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sekelasku yang turut datang memberikan sokongan kepada ku pada tayangan itu. Mereka baru selesai menghadapi perlawanan ping pong yang diadakan di dewan bendahara. Sebenarnya nama aku turut tersenarai dalam pemain ping pong itu, namun kerana program malam itu, terpaksa orang lain menggantikan tempatku, dan Alhamdulillah pasukan kami mendapat tempat ke-3 bagi kejohanan ping pong itu.
Pada petang selasa, 26 mei 2009, satu perjumpaan untuk semua ahli usrah bersama dengan baba telah diadakan. Selepas selesai menduduki kertas anatomi dan fisiologi, aku bersama sahabat menunaikan kewajipan kami di surau al-firdaus sebelum sama-sama memasuki dewan syarahan untuk perjumpaan terakhir sebelum kami semua balik untuk bercuti. Majlis kami dimulakan dengan al-fatihah dan dipengurusikan akhi afiq. Dalam majlis itu, akhi fazli memberikan sedikit hidangan tazkirah kepada semua yang hadir. Selepas itu giliran baba menyampaikan amanatnya kepada kami sebelum kami semua balik untuk bercuti. Dalam amanat baba itu, baba meminta kami menghabiskan masa cuti kami dengan perkara-perkara yang berfaedah. Amal-amal jame’I dan juga amal-amal fardhi mestilah selalu diamalkan semasa cuti ini. Majlis itu selesai selepas sejam berlalu. Dan kuliah perubatan islam yang terakhir juga akan diadakan selepas maghrib. Walaupun kedatangan tidak begitu ramai lantaran sudah ada penuntut yang balik kampung selepas selesai final mereka petang tadi, kuliah perubatan tetap diteruskan bagi hadirin yang datang.
Dan selepas seminggu aku bercuti, aku banyak menghabiskan masa dirumah bersama keluarga. Namun dalam pada itu aku juga sempat menghadiri satu mesyuarat bersama mahasiswa kawasan ketereh merancang beberapa program untuk pelajar-pelajar serta orang kampung. Dan insya’allah jika tiada aral melintang, satu gotong royong membersihkan masjid di sebuah kampung akan diadakan dengan dibantu oleh unit amal. Selain itu, satu program mendaki gunung stong akan diadakan pada 12-13 jun nanti. Insya’allah, jika tiada aral melintang aku akan sertainya sekali.
Itulah sedikit sebanyak bingkisan hidupku selama lebih sebulan ini. insya’allah di lain masa dan kesempatan akan aku coretkan sedikit untuk tatapan sahabat. Ingin aku ingatkan kepada diriku dan juga sahabat agar memanfaatkan masa cuti semester ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Gunakanah masa muda dan tenaga yang masih ada ini untuk melipat gandakan amalan kita.. seperti yang kita tahu, salah satu golongan yang perlindungan arasy Allah di padang masyar kelak ialah golongan pemuda yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Jadi, gunalah masa yang ada ini untuk mendekatkan diri kita dengan masjid dengan menunaikan solat berjemaah di masjid serta menghadiri majlis-majlis ilmu yang di adakan. Insya’allah, jika ita menghadiri taman-taman syurga di dunia ini, kita akan dapat menikmatinya di akhirat kelak. Semoga kita sama-sama beroleh manfaatnya..
Ilalliqa’...
SYABAB,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Dalam keliru kau mencari identiti diri,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan sebuah kematangan,
Wahai SYABAB,
Ketekunanmu mengoborkan cita-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta Gelombang,
Ayuh, SYABAB!
-Fatimah Syarha-syabab musafir kasih