Monday, June 15, 2009

XPDC Remaja Khatam Al-Quran Di Puncak Gunung Stong

Assalamualaikum… selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A. W, kaum kerabat baginda, para sahabat serta para pejuang agama Allah yang sentiasa tegar berjuang dalam menegakkan agama Islam di muka bumi ini. Syukur yang tidak terhingga aku panjatkan kepada ILAHI kerana masih lagi memberikan aku kesempatan untuk menikmati hidup di dunia yang fana ni.
Subhanallah…
Alhamdulillah…
Allahukbar…
Segala puji bagi Allah yang menciptakan alam raya ini yang maha sempurna. Untuk post kali ini, aku ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman hidupku. Alhamdulillah, beberapa hari yang lalu aku bersama sahabat-sahabatku yang lain berjaya menawan puncak gunung stong. Satu pengalaman yang begitu berharga buat diriku ini. Satu pendakian yang begitu memenatkan. Apa yang dapat aku katakan selepas berjaya menawan puncak gunung stong itu ialah pendakian yang menguji ketahanan fizikal dan juga mental. Namun semuanya dapat di atasi dan merasai nikmat apabila berada di puncak sana.
para peserta bergambar sebelum bertolak ke kaki gunung stong

Perjalanan Ke Kaki Gunung
XPDC Remaja Khatam Al-Quran Di Puncak Gunung Stong ini adalah anjuran kelab remaja sohabah (KRS) iaitu merupakan salah satu kelab yang agak aktif di kawasan parlimen ketereh. Sebenarnya xpdc ini hanya untuk ahli kelab KRS sahaja tetapi disebabkan pengarah program yang juga merangkap pengerusi kelab ini adalah salah seorang ahli sekreteriat mahasiswa ketereh, jadi dia membuka penyertaan kepada ahli sekreteriat yang berminat untuk menyertainya. Jadi, aku dan 3 orang lagi sahabat mengambil peluang ini untuk mencari pengalaman mendaki gunung stong iaitu antara gunung tertinggi di negeri Kelantan. Xpdc ini berlangsung selama 2 hari iaitu 12 hingga 13 Jun 2009. Kami seramai 40 orang telah bertolak dari perkarangan masjid dendang, ketereh lebih kurang pukul 10 pagi. Sebelum itu, satu majlis perasmian telah disempurnakan oleh ketua pemuda kok lanas. Perjalanan kami dimulakan dengan bacaan doa yang telah dibacakan oleh imam masjid dendang. Selepas 2 jam perjalanan, kami sampai ke tempat yang dituju. Selepas menunaikan solat jumaat dan solat asar secara jamak di masjid yang berdekatan, kami terus menuju ke kaki gunung yang terletak kira-kira 2 km dari masjid. Kami terpaksa berjalan kaki ke sana kerana bas tidak dapat memasuki kawasan itu. Sebelum pendakian bermula, kami mendengar sedikit taklimat daripada guide yang akan bersama-sama kami dalam xpdc ini. Sebelum bermulanya pendakian, kami diberi amanat untuk ditunaikan sepanjang pendakian itu. Amanat itu ialah bacaan 3 kul sebanyak 9 kali dan juga bismillah 100 kali. Inilah istimewanya pendakian kami daripada pendaki-pendaki yang lain. Sebelum bermulanya pendakian, kami semua berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan selamat semuanya kerana semua yang berlaku itu adalah atas perintahNYA. Sepanjang perjalanan, kami hanya boleh bergantung harap kepada pertolongan Allah sahaja, itulah kata-kata yang diluahkan oleh pengarah program ini. Lebih kurang pukul 3.30 petang, kami memulakan pendakian kami.

bersedia menaiki bas
perjalanan ke kaki gunung

Menuju Baha Camp
Selepas beberapa minit mendaki, keletihan mula dirasai. Memang agak mencabar dan memenatkan. Jalan yang dilalui agak curam. Selepas hampir 30 minit, kami semua sampai kaki air terjun iatu air terjun gunung stong. Air terjun ini merupakan antara yang tertinggi di asia tenggara. Ketinggiannya lebih kurang 450 meter dari aras laut. Kami berhenti rehat seketika di sana sambil mengambil kesempatan untuk bergambar sebagai kenangan. Dalam masa yang sama, guide yang bersama kami memberi sedikit penerangan tentang air terjun itu dan juga tentang gunung stong yang akan kami tawan nanti. Selepas mendengar taklimat, kami meneruskan pendakian. Kami berhenti selepas 15 minit kerana kepenatan kerana jalan yang dilalui oleh kami agak curam dan memerlukan banyak tenaga untuk mendakinya. Selepas berehat beberapa ketika, kami meneruskan pendakian. Semasa di pertengahan jalan, kami bertembung dengan satu kumpulan pendaki yang seramai 90 orang. Mereka merupakan pelajar politeknik sultan idris shah. Kami terpaksa memberi laluan kepada mereka sambil merehatkan badan yang keletihan. Agak bahaya sebenarnya jika meneruskan pendakian jika ada kumpulan lain yang sedang menuruni gunung. Kami meneruskan pendakian dan tiba di persimpangan antara baha camp dan juga jalan menuju ke gua bogor yang merupakan perancangan awal kami untuk bermalam di dalam gua bogor. Kami terpaksa membatalkan niat untuk bermalam di gua bogor kerana pendakian ke sana akan mengambil masa yang lebih lama dan lebih mencabar. Di tambah lagi dengan bebanan yang di bawa dan juga hari semakin gelap. Jika kami meneruskan perjalanan ke gua bogor, guide yang yang bersama kami mengatakan mungkin kami akan sampai lebih kurang pukul 8 malam di sana. Pada waktu itu, jam telah menunjukkan pukul 5.30 petang. Jadi untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, kami mengambil keputusan untuk bermalam di baha camp. Baha camp ini terletak betul-betul di atas air terjun gunung stong yang kami berhenti rehat tadi. Pemandangan di sini sungguh cantik. Indahnya alam ciptaan Allah ini.
laluan ke baha camp
sempat lagi posing, hehe...

inilah antara rintangan yang dihadapi semasa mendaki

mendengar penerangan daripada guide, abg syahril



Semalaman Di Baha Camp
Kami tiba di baha camp selepas 2 jam pendakian. Aku amat teruja dengan suasana persekitaran di sana, sungguh cantik. Di sana, ada kedai yang menjual makanan ringan, air dan juga cenderahati. Hehe… tapi harganya memang mahal. Air tin yang biasanya rm 1.50 di kedai, namun di atas gunung ini harganya rm 3. Sungguh mahal. Walaupun mahal, masih ada yang sanggup membelinya kerana terpaksa disebabkan kepenatan dan kekurangan air. Semasa tiba di baha camp, aku mendapati terdapat 2 lagi kumpulan pendaki lain yang bermalam di sana. Salah satu daripadanya adalah kumpulan pendaki dari Negara china. Selepas menetapkan kawasan untuk bermalam, pengarah program memberikan arahan supaya mendirikan khemah dan juga memasak mengikut kumpulan yang ditetapkan. Disebabkan kami semua tidak membawa khemah kerana perancangan awal untuk bermalam di dalam gua, jadi kami terpaksa menggunakan grass sheet sebagai khemah kami. Selepas siap mendirikan khemah, aku dan juga ahli kumpulan menyediakan bahan-bahan untuk masakan. Biasalah masakan di atas gunung adalah simple je macam sardin dan juga telur. Namun, sebelum kami memulakan masakan, kami mengambil kesempatan untuk mandi di kolam air terjun permaisuri yang terdapat di sana. Pada masa yang sama, sudah ada kumpulan lain yang telah mula memasak. Setelah mandi, baru kumpulan aku memasak. Untuk makan malam ini, kami hanya masak nasi, ikan sardin dan minum air teh je. Memandangkan hari sudah gelap dan jam pun sudah menunjukkan pukul 8 malam, kami semua menunaikan solat jamak maghrib dengan isyak secara berjemaah. Dengan bertemankan hanya sebuah pelita, kami menunaikan kewajipan kami sebagai seorang muslim. Alunan muzik timba menemani malam kami. 

Selesai solat, kami membaca al-mathurat. Indahnya terasa di hati bersama-sama sahabat sefikrah di tengah hutan rimba mengingati Sang Pencipta. Alunan muzik rimba tidak kedengaran kerana bacaan al-mathurat. Subhanallah… indahnya suasana ini. Sungguh berbeza dengan program yang wajib aku sertai semasa di ipgm iaitu bina insan guru dahulu. Walaupun namanya untuk membina insan guru namun pengisian rohani langsung tidak dititikberatkan. Selesai menjamah makanan rohani, kami semua menikmati makan malam yang telah disiapkan sebelum solat lagi. Sungguh menyelerakan walaupun dengan makan nasi yang kurang masak dan hangit, namun semuanya sedap bagi kami kerana kelaparan selepas kepenatan mendaki. Selesai makan, pengarah program meminta semua peserta berkumpul kerana kami akan ‘berjalan malam’ di dalam hutan rimba itu. Tanpa di duga, hujan turun membasahi bumi. Semua orang sibuk mengemaskan beg masing-masing supaya tidak basah terkena hujan dan aktiviti malam itu terpaksa dibatalkan. Nasib baik di tempat kami berkhemah itu ada sebuah surau yang diperbuat daripada buluh yang telah dibina beberapa tahun lalu. Jadi surau itulah yang menjadi tempat kami berteduh untuk seketika sambil mendengar cerita daripada guide tentang gunung stong. Pada masa itu, jam telah menunjukkan pukul 10 malam. Guide yang bersama kami itu teruja ingin mengetahui tentang program kami kerana tajuk program itu telah menarik minatnya. Khatam al-Quran di puncak gunung stong. Guide itu juga ada menceritakan tentang gerakan kristian dari singapura yang telah menawan gunung stong beberapa tahun yang lalu. Menurut guide itu, gerakan kristian begitu aktif menyebarkan agama mereka terutamanya kepada orang-orang asli. Maklumlah kawasan pergunungan itu adalah antara kawasan orang asli. Mereka turut berbangga kerana kami semua mengadakan program seperti itu kerana sekurang-kurangnya ada juga pengisian dan objektif menawan puncak gunung stong bukan sahaja untuk suka-suka seperti pendaki lain. 

Namun apa yang dapat dikatakan di sini ialah gerakan kristian telah mendahului islam dalam penyebaran agama mereka. Gerekan kristian begitu aktif sampai ada yang sanggup berkahwin dengan orang asli dalam penyebaran agama mereka. Itulah yang diperkatakan oleh guide kepada kami semua. Subhanallah… semoga ISLAM akan terus berkembang di dunia ini. Hujan berhenti selepas sejam menurunkan rahmat ke bumi. Khemah yang akan menjadi tempat tidur kami basah ditimpa hujan. Dan ramai yang sudah ‘syahid’ di dalam surau. Memandangkan keadaan tidak mengizinkan peserta untuk tidur di bawah khemah, pengarah member kebenaran untuk tidur di dalam surau. Namun, tidak semua yang tidur di sana kerana surau itu agak kecil dan tidak dapat menampung kami semua. Ada beberapa orang yang tidur di bawah khemah. Namun, aku bersama seorang sahabatku masih lagi mencari tempat untuk tidur begitu juga pengarah program. Akhirnya kami mengambil kesempatan untuk tidur di kawasan lapang beralaskan tikar. Kami tidur berselimutkan hutan rimba dan berbumbungkan langit. Alunan muzik rimba menemani tidur kami.
para peserta mendirikan khemah masing-masing
inilah khemah aku yang siap dipasang, hehe...
suasana ketika hujan, hehe.. nak masuk bilik bedah ke tue?
Seawal jam 4 pagi, kami dikejutkan untuk menyiapkan diri bagi berqiamullai. Suasana pagi yang begitu dingin dan angin bertiup agak kencang menyambut pagi kami semua. Kedinginan air gunung menyegarkan kami. Selepas semua telah siap sedia, kami menunaikan solat tahajud, hajat, taubat dan juga witir. Selesai witir, kami meneruskan dengan solat subuh. Selepas menunaikan kewajipan kepada pencipta, kami semua berkumpul di atas batu yang merupakan betul-betul di atas air terjun yang tinggi itu. Suasana sekeliling sungguh dingin ditambah lagi dengan tiupan angin pagi. Pemandangan sungguh cantik. Kawasan bukit dikelilingi kabus tebal. Kami memulakan bacaan al-mathurat di sana. Pada masa yang sama, kumpulan pendaki dari china turut menghayati pemandangan pagi di sana. Inilah masa kami untuk menunjukkan indahnya Islam kepada mereka. Semasa bacaan al-mathurat, aku melihat matahari terbit. Sungguh cantik. Subhanallah… sungguh indah alam ciptaanNYA. Terasa tenang di hati dengan suasana sekeliling yang mendamaikan di tambah lagi dengan alunan muzik rimba. Selesai bacaan al-mathurat, kami menyediakan sarapan pagi dan juga menyiapkan makanan tengahari yang akan di bawa ke puncak nanti. kami terpaksa menyediakan makanan awal kerana di puncak sana tiada punca air. Selepas selesai menyediakan makanan, kami mengemaskan barang-barang di dalam beg. Beg itu tidak akan kami pikul ke puncak tetapi akan ditinggalkan di baha camp untuk mengurangkan bebanan dan mempercepatkan perjalanan menuju puncak.

menghayati alam ciptaan ALLAH

indahnya alam ciptaanNYA
bersama sahabat
bacaan mathurat menjadi santapan rohani kami di pagi hari
bersama sahabat seperjuangan

Menuju Puncak
Kami memulakan perjalanan menuju puncak pada pukul 9.30 pagi. Apa yang dapat aku katakana dalam pendakian menuju puncak ini sungguh mencabar dan memenatkan kerana jalan yang dilalui sungguh curam dan agak berbahaya dari pendakian menuju ke baha camp. Perjalanan kami ini akan berhenti rehat di beberapa check point bagi menghilangkan penat. Selepas 1 jam 30 minit pendakian, kami tiba di gua bogor. Perjalanan kami ke gua bogor agak cepat kerana kami tidak membawa bebenan di bahu. Di gua bogor, kami mengambil air sembahyang kerana itulah puncak air yang terakhir sebelum menuju puncak. Kami juga mengambil bekalan air minuman. Air gunung lah yang menjadi minuman kami sepanjang pendakian ini. Airnya sungguh menyegarkan dan sejuk. Perjalanan dari gua bogor ke puncak mengambil masa lebih kuran 2 jam 30 minit lagi. Dan pendakian dari gua bogor ke puncak ini lebih mencabar dan memenatkan dari yang sebelumnya. Dengan jalan yang agak curam dan berbahaya di tambah lagi dengan badan yang begitu kepenatan. Kami terpaksa melalui titian pokok balak yang tumbang sebagai laluan menuju puncak. Pendakian menuju puncak ini lebih menguji ketahanan mental kami. Namun ketahanan fizikal juga tidak kurang hebatnya. Udara sekeliling agak dingin. Menunjukkan kami sudah semakin hampir ke puncak. Namun, perjalanan ke puncak ini menyebabkan pecahan kumpulan yang agak ketara dan ada yang mendaki bersendirian memandangkan masing-masing kepenatan dan bekalan air yang di bawa sudah habis. Aku sendiri memang kepenatan. Dengan kepenatan yang amat sangat dan bekalan air yang dibawa hanya tinggal sedikit sahaja, aku banyak berhenti semasa pendakian. Walaupun puncak gunung stong tidak sampai 70 meter di atas sana, namun perjalanan yang di ambil lebih kurang 30 minit kerana terlalu kerap berhenti. Selepas lebih kurang 2 jam 30 minit pendakian dari gua bogor, aku akhirnya selamat sampai di puncak gunung stong yang ketinggiannya lebih kurang 1400 meter dari aras laut. Dengan badan yang kepenatan, tetapi aku puas kerana akhirnya berjaya menawan puncak gunung stong. Di puncak sana, aku bersama ahli kumpulan menikmati makanan tengahari dengan begitu berselera. Walaupun dengan nasi yang hangit dan kurang masak, di tambah pula ikan sardin yang di bawa dari baha camp agak hancur, namun semuanya sedap bagi kami kerana memang kelaparan dan keletihan. Selepas makan, kami meneruskan program kami iaitu khatam al-quran di puncak gunung stong. Setiap peserta dikehendaki membaca satu juzuk seorang. Selepas khatam, kami semua berdoa dan melaungkan takbir sebanyaj 7 kali sebagai tanda berjaya menunaikan objektif kami iaitu khatam al-quran di puncak gunung stong. Laungan takbir bergema memecahkan suasana di puncak gunung.

peace!

bergambar kenangan bersama guide dan sahabat dari KIAS

berhenti rehat di gua bogor

di puncak jaya! hehe

alhamdulillah...

Menuruni Gunung
Lebih kurang pukul 3 petang, kami semua memulakan perjalanan turun ke baha camp. Perjalanan turun ke baha camp lebih berbahaya dari pendakian kerana jalan yang kami turuni itu curam. Ada juga antara kami yang sudah ‘cramp’ dan terseliuh kaki ketika menuruni gunung. Perjalanan turun ini tidak mengambil masa yang begitu lama dari pendakian. Kalau pendakian dari baha camp ke puncak mengambil masa lebih kurang 4 jam, namun perjalanan turunnya hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit hingga 2 jam sahaja. Semasa tiba di baha camp, aku mandi dan menunaikan solat asar dan zohor secara jamak takhir. Selepas mengemaskan semua barang-barang ke dalam beg dan semua peserta sudah sampai di baha camp, kami semua bersiap sedia untuk turun ke kaki gunung. Aku bersama beberapa orang ahli kumpulan yang lain memulakan perjalanan turun ke kaki gunung lebih awal memandangkan hari sudah semakin gelap. Kami memulakan perjalanan turun ke kaki gunung lebih kurang pada pukul 6.15 petang dan sampai di kaki gunung pada jam 7 malam. Perjalanan turun memang agak bahaya kerana terpaksa membawa bebanan yang seberat lebih kurang 4 hingga 5 kg di bahu. Selepas semuanya sampai di kaki gunung, bas yang akan membawa kami pulang sudah siap sedia menunggu. Kami menunaikan kewajipan kami sebagai seorang muslim terlebih dahulu di masjid berdekatan. Kami meninggalkan daerah dabong lebih kurang pada jam 8.45 malam. Aku akhirnya sampai ke rumah lebih kurang pada jam 12 malam.

inilah bebanan yang terpaksa dipikul semasa mendaki dan menuruni gunung...
Inilah serba sedikit perkongsian pengalaman hidupku bersama sahabat menawan puncak gunung. Satu pengalaman yang begitu berharga dan begitu berguna untuk aku suatu ketika nanti apabila bergelar guru kelak. Pendakian yang menguji ketahanan fizikal dan mental di samping menghayati alam ciptaan Allah yang Maha Esa. Bersesuaian dengan dengan tema program ini iaitu ALLAH MAHA BESAR. Sepatutnya program seperti inilah yang patut diterapkan semasa bina insan guru bagi melahirkan guru-guru yang berkualiti dan mempunyai pekerti yang mulia. Semoga perkongsian ini mendapat manfaatnya untuk semua dan boleh mencetuskan idea untuk melaksanakan program yang sama kepada bakal-bakal guru.

No comments:

SYABAB,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Dalam keliru kau mencari identiti diri,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan sebuah kematangan,

Wahai SYABAB,
Ketekunanmu mengoborkan cita-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta Gelombang,
Ayuh, SYABAB!


-Fatimah Syarha-syabab musafir kasih