Sunday, September 27, 2009

CaTaTan RamaDhaN

Bismillahirrahmanirrahim… Assalamualaikum w.b.t.


Alhamdulillah, syukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah kurnia dan inayahNYA dapat lagi aku meneruskan hidup di muka bumi yang fana ini. Selawat serta salam ke atas junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada’, tabi’ei, tabi’ tabi’ei, serta mujahid mujahidah yang senantiasa meneruskan risalah dakwah Rasulullah s.a.w sehingga ke hari ini.


Subhanallah…

Alhamdulillah…

Allahukbar…


Sudah lebih seminggu ramadhan meninggalkan kita. Bagi diriku, aku begitu sedih kerana terpaksa berpisah dengan ramdhan. Bulan yang penuh barakah. Di dalamnya terdapat banyak ‘hadiah-hadiah’ yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNYA yang bertaqwa. Dan mungkinkah aku akan bertemu lagi dengan ramadhan yang akan datang?? Atau mungkin ramadhan yang baru sahaja berlalu itu merupakan ramdhan yang terakhir dalam hayatku?? Aku tidakn tahu. Namun aku masih menaruh harapan yang tinggi agar dipertemukan lagi dengan ramadhan agar aku dapat sekali lagi ‘bergurau senda dan berkasih-kasihan’ dengannya. Jika ramadhan yang baru sahaja berlalu itu yang terakhir buatku, alangkah malangnya nasibku ini kerana tidak lagi dapat ‘berkasih-kasihan’ dengannya.



Hari pertama ramadhan aku pada tahun ini adalah di rumah. Baru sahaja sehari cuti pertengahan semester, ramadhan telah bertandang. Jadi selama cuti ini aku hanya bersama keluarga ku untuk makan sahur dan berbuka. Masa cuti pertengahan semester ini hanya seminggu, namun aku berada selama 2 minggu di rumah kerana menjalani SBE (school based experience) atau dikenali juga sebagai PBS (pengalaman berasaskan sekolah). Untuk kali ini, aku bersama 2 orang lagi rakanku menjalani SBE di Sekolah Kebangsaan Pak Badol. Jaraknya lebih kurang 3 km dari rumahku. Tiada apa yang hendak aku ceritakan tentang SBE ku itu, kerana ia merupakan SBE ku yang ke-4 atau yang terakhir dan tahun depan aku akan mula menjalani praktikal di sekolah.



Dua hari terakhir aku berpuasa di rumah, aku bersama dengan sahabat-sahabatku dan juga mad’u masing-masing telah dijemput oleh baba untuk berbuka puasa dirumahnya. Majlis pada 4 September itu telah dirancang sebelum menjelangnya bulan ramadhan lagi kerana masing-masing sibuk. Alhamdulillah, terasa nikmatnya iftar bersama dengan sahabat-sahabat. Terasa ukhwah meresap ke dada. Dan Alhamdulillah semua mad’u aku dapat juga menghadirkan diri di dalam majlis ini. Namun ada beberapa orang yang sepatutnya turut serta dalam majlis itu tidak dapat datang disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan. Dalam majlis iftar itu, sebelum kami semua dijamu dengan juadah yang begitu menyelerakan yang telah sedia terhidang di ruang tamu rumah baba, kami semua telah dihidangkan dulu dengan santapan rohani yang telah disampaikan oleh baba dan juga seorang ustaz dari IPGM kampus kota bharu (maaf, namanya aku tidak berapa ingat). Alhamdulillah, majlis iftar itu berjalan lancar.



Dan untuk hari pertama berbuka puasa di kampus, aku hanya berbuka di dalam bilik ku bersama dengan sahabatku. Hari kedua pun sama. Namun, hari ke-3 berbuka di kampus, aku telah mendapat jemputan untuk berbuka bersama dengan muazzin dan juga imam yang telah ditugaskan sepanjang bulan ramadhan. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja masuk waktu berbuka, kami hanya makan kuih muih sahaja. Selepas itu, kami semua menunaikan solat maghrib secara berjemaah di surau al-firdaus. Selesai solat, barulah kami makan makanan yang agak berat iaitu nasi. Alhamdulillah..



Hari ke-4 di kampus, aku dan juga sahabatku telah menjemput mad’u kami untuk berbuka puasa bersama kami. Alhamdulillah, semua mad’u kami datang untuk iftar bersama kami. semasa iftar, sempat lagi kami beramah mesra dan bergurau senda, itulah dia pengikat ukhwah sesama kami. ukhwah yang terjalin semakin hari semakin erat. Gurau senda sesama kami mengeratkan tali ukhwah ini. selesai menjamah sedikit kuih, kami menunaikan solat maghrib berjemaah sebelum memakan nasi. Hari ke-5 berpuasa di kampus, aku bersama sahabat-sahabatku iftar di surau. Hari itu, biro agama dan pendidikan mengadakan majlis berbuka puasa untuk seluruh warga kampus yang berminat untuk berbuka puasa bersama. Alhamdulillah, penyertaannya juga menggalakkan.



Pada hujung minggu, aku pulang ke rumah untuk berbuka dan bersahur bersama keluargaku. Sekembalinya ke kampus pada petang sabtu, aku bersama-sama sahabatku berbuka bersama dengan ahli kelab rakan masjid (KRM). Majlis yang dirancang berjalan dengan sempurna. Minggu terakhir sebelum pulang ke kampung untuk hari raya, jadual berbuka puasa memang sudah penuh.hehe… Hari isnin berbuka puasa bersama-sama warga kampus di surau, hari selasa berbuka bersama rakan sekelas dan hari rabu berbuka di dewan bendahara dalam majlis khatam quran dan berbuka puasa perdana. Untuk tahun ini, hanya beberapa kali sahaja aku bersama sahabat iftar di bilik, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Namun, majlis iftar yang dibuat ini dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama kami yang sebelum ini tidak berapa rapat menjadi semakin akrab.



Sedar tak sedar, ramadhan semakin sampai ke penghujungnya. Dalam hati, terasa kesayuannya kerana terpaksa berpisah dengan ramadhan ini. Sedih menjelma di dalam diri kerana perpisahan ini. adakah lagi peluang untukku menemuinya lagi pada tahun hadapan ataupun ini yang terakhir bagiku. Semoga ada lagi ramadhan untuk aku pada tahun hadapan.



Syawal menjelma


Laungan takbir bergema di masjid mukimku. Jika sebelum ini jemaahnya ramai, namun pada malam raya itu, sudah nampak perbezaannya. Mungkin orang ramai sibuk menyiapkan juadah untuk berhari raya keesokan harinya.



Kedinginan pagi menyambut subuhku. Alhamdulillah, jemaah subuh di pagi raya masjid mukim agak ramai. Sama-sama bertakbir memuji yang Esa tanda kemenangan dan kembalinya kita kepada fitrah.



Di pagi hari yang mulia, aku bersyukur kepadaNYA kerana masih lagi memberikan aku keluarga untuk sama-sama menyambut lebaran kali ini. kemaafan ku pohon daripada ayah dan ibu ku atas segala kesalahan dan kealpaan ku selama ini. ampunkan anakmu ini. halalkan segala makan dan minum yang telah diberikan. Semoga keberkatan syawal menyelubungi hidupku dan seluruh umat Islam.

Wednesday, September 16, 2009

Majlis Iftar Jama'ei Perdana & Majlis Khatam Al-Quran

Majlis Iftar Jama'ei Perdana & Majlis Khatam Al-Quran

Peringkat IPGM Kampus Sultan Mizan

Pada 16 September 2009
(bersamaan 26 Ramadhan 1430H)

Tempat: Dewan Bendahara IPGM Kampus Sultan Mizan

Masa : 5.30 Petang

Selepas Iftar Semua Warga IPGM KSM dijemput menunaikan solat maghrib berjemaah di Surau Al-Firdaus dan seterusnya menunaikan solat isyak dan solat sunat terawikh.

Semua Muslimin dan Muslimat Warga IPGM Kampus Sultan Mizan
Diwajibkan Hadir Bagi Memeriahkan & Menghidupkan Lagi Majlis Berbuka Puasa Perdana & Majlis Khatam Al-Quran ini

Anjuran Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral (JAPIM)
Dengan Kerjasama JPP Biro Agama Dan Pendidikan IPGM KSM

Iftar Bersama Rakan Sekelas

Bismillahirahmanirrahim....
Assalamualaikum w.b.t..
Alhamdulillah... pada hari ahad yang lepas sempat juga aku bersama rakan sekelasku yang lain mengadakan majlis buka puasa bersama. Untuk mengetahui ceritanya, silalah layari blog kelas aku. (KLIK DI SINI)

Saturday, September 12, 2009

Mencari Lailatul Qadar

Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan kasih sayangNYA masih lagi memberikan aku peluang untuk terus bernafas dan berkelana di atas muka bumiNYA. Selawat serta salam ke atas kekasih yang dirindui Nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada’, tabii, tabi’ tabii, serta mujahid mujahidah yang senantiasa berjuang dalam menegakkan daulah Islamiyah di atas muka bumi yang fana ini.
Subhanallah…
Alhamdulillah…
Allahukbar…


Alhamdulillah.. sekarang kita telah memasuki fasa terakhir di bulan Ramadhan. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Dalam tak sedar, kita hanya ada 7 hari lagi untuk merebut sebanyak mungkin 'hadiah-hadiah' istimewa di bulan yang mulia ini. Dan semakin dekat kita ingin menyambut hari raya, semakin kurang pula jemaah di surau-surau mahupun masjid-masjid. Kenapakah ini terjadi? Tepuk dada, tanya iman.

Dan dalam malam-malam terakhir di bulan ramadhan ini terdapat satu malam yang di sebut Malam Al-Qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan. Jika dikira-kira, 1000 bulan bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Jika kita beribadah pada malam ini, ibarat kita beribadat selama 1000 bulan. Subhanallah.. Betapa besarnya hadiah yang Allah berikan kepada kita ummat kekasihNYA.

Jadi sempena 10 malam terakhir ini, marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadah kita. Sama-samalah kita mencari malam alqadar. Semoga rahmat Allah mencucuri kita.

Wednesday, September 9, 2009

Mabuk Dalam Cinta Terhadap ALLAH

Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya."



Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu."

Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah."



Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.



Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.



Setelah Nabi Isa a.s mendengar penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu." Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.



Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s."Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya."



Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.


1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia.
2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia inginmendapat sanjungan dari manusia.
3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.


Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima:


1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.

2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq.

4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur."

Wednesday, September 2, 2009

Ramadhan Ku


Bismillahirahmanirrahim, Assalamualaikum w.b.t.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan kasih sayangNYA masih lagi memberikan aku peluang untuk terus bernafas dan berkelana di atas muka bumiNYA. Selawat serta salam ke atas kekasih yang dirindui Nabi Muhammad s.a.w, kaum kerabat baginda, para sahabat, para syuhada’, tabii, tabi’ tabii, serta mujahid mujahidah yang senantiasa berjuang dalam menegakkan daulah Islamiyah di atas muka bumi yang fana ini.
Subhanallah…
Alhamdulillah…
Allahukbar…

Ramadhan terus berlalu. Hari-hari yang dilalui dirasakan begitu pantas berlalu. Dalam aku tidak sedar, aku telah memasuki fasa ke 2 di dalam bulan ramdhan ini. Fasa kerahmatan telah berlalu meninggalkan, sekarang telah memasuki fasa pengampunan sebelum menjelang fasa bebas dari api neraka. Seperti yang kebanyakan kita sedia maklum, bahawa ramadhan mempunyai tiga fasa iaitu 10 hari pertama di bulan ramadhan iailah fasa kerahmatan, 10 hari kedua di bulan ramadhan merupakan fasa pengampunan dan 10 hari terakhir di bulan ramdhan merupakan fasa bebasnya dari api neraka. Dan perkara ini seringkali di ucapkan oleh ustaz-ustaz di sekolah2, kampung2, ipt2 serta di media massa.

Namun, adakah kita mengambil berat akan semua ini?. Aku bukan ingin mengatakan kepada sesiapa tetapi berbalik kepada diriku sendiri. Aku muhasabah kembali diri aku ini. Berapa helai al-qurankah yang aku habiskan sehingga hari ini? Rasanya aku belum berpuas hati dengan amalan yang aku lakukan sehingga hari ini. Masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan orang-orang lain. Terasa begitu lemah diriku ini untuk melawan nafsu malas yang menggunung tinggi di diri ini. Zikir? Ibadah-ibadah sunat yang lain? Rasanya masih jauh ketinggalan dengan sahabat-sahabat yang lain. Ya Allah… kuatkanlah diriku ini untuk terus beribadah kepada kepadaMu dalam mencari cahaya cintaMu.

Bulan ramadhan, bulan penuh kemuliaan, bulan penuh kerahmatan, bulan penuh keberkatan, bulan di mana segala amalan yang dilakukan di ganda-gandakan pahalanya. Bulan di mana pintu-pintu syurga di buka seluas-luasnya dan pintu-pintu neraka ditutup serapat-rapatnya dan para syaitan laknatullah diikat. Bulan yang dirindui oleh para alim ulama’ serta bulan yang menjanjikan seribu satu kenikmatan kepada hamba-hamba yang bertaqwa. Subhanallah.. begitu hebat bulan ini. Kedatangan dinanti, sepermegiannya dirindui.

Masa terus berlalu pergi tanpa menunggu kita. Namun, adakah kita mempergunakan masa sebaiknya di bulan yang mulia ini? Apakah yang telah kita lakukan selama lebih 10 hari kita menjalani ibadah puasa? Sudah berpuas hati? Atau masih lagi belum memulakan langkah untuk beribadah di bulan yang mulia ini. Ambil masa sekejap dan muhasabah diri kita kembali. Renung-renungkan apa yang telah kita lakukan sepanjang kita menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan ini. Seharusnya kita manfaatkan sebaiknya bulan yang penuh barakah ini. Lipat gandakan amalan kita. Perbanyakkan amalan-amalan sunat di bulan ini kerana amalan-amalan sunat yang dilakukan pada bulan ini pahalanya adalah sama seperti kita melakukan ibadah fardu di bulan-bulan lain. Subhanallah… begitu besarnya ganjaran yang Allah hadiahkan kepada kita ummat KekasihNya. Tapi mengapa kita masih lagi leka dengan kenikmatan dunia yang Allah beri pinjam sehingga kita lupa untuk mengucapkan syukur kepadanya? Ambillah sedikit masa kita untuk mengucapkan syukur kepadaNya di dalam bulan yang mulia ini. Semoga ucapan syukur yang kita ungkapkan di bulan ramadhan ini diberikan ganjaran oleh Allah.

Marilah kita sama-sama memanfaatkan sebaiknya bulan ini. Rebutlah ‘hadiah-hadiah’ istimewa yang Allah janjikan pada bulan ini. Kita seharusnya patut bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa ini dalam suasana yang aman harmoni. Mungkin sesekali kita terasa letih dan penat dalam melakukan tugasan-tugasan harian kita. Namun pernahkah kita fikirkan kembali sejarah para sahabat semasa zaman rasulullah dahulu? Dengan tubuh yang letih berpuasa, mereka tetap tegar berjihad dalam perang pertama ummat Islam ketika itu iaitu Perang Badar. Subhanallah.. begitu besar pengorbanan para sahabat. Jauh sekali jika nak dibadingkan dengan diri kita sekarang. Walaupun belajar dalam aircond tetapi masih lagi mengeluh. Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang Alah berikan kepada kita ini. Ambillah masa sekejap untuk mengucapkan…
ALHAMDULILLAH….
ALHAMDULILLAH…
ALHAMDULILLAH…

Alhamdulillah.. sempat lagi kita bersyukur memuji dalam kita melayari alam maya ini.
Oleh itu, marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadah kita dalam kita melangkah ke 10 malam terakhir bagi mendapatkan lailatulqadar pada ramadhan kali ini. Insya’allah.. semoga Allah memberikan cahayaNYA kepada kita semua.

Tuesday, September 1, 2009

Izinkan Aku Mencintai Mu

Tuhanku,

Aku masih ingat,

Saat pertama dulu aku belajar mencintaiMu,

Lembar demi lembar kitab kupelajari,

Untai demi untai kata para ustaz kuresapi,

Tentang cinta para nabi,

Tentang kasih para sahabat,

Tentang mahabbah para sufi,

Tentang kerinduan para syuhada

Lalu kutanam di jiwa dalam-dalam,

Ku tumbuhkan dalam mimpi-mimpi,

Dan idealism yang mengawang di awanan,



Tapi Rabbii,

Berbilang detik, minit, jam, hari, bulan dan

kemudian tahun berlalu,

Aku berusaha mencintaiMu dengan cinta yang paling utama,

Tapi aku masih juga tak menemukan cinta tertinggi untukMu,

Aku makin merasakan gelisahku membadai,

Dalam cita yang mengawang,

Sedang kakiku mengambang, tiada menjejak bumi,

Hingga aku terhempas dalam jurang dan kegelapan



Wahai Ilahi,

Kemudian berbilang detik, minit, jam, hari, bulan dan tahun berlalu,

Aku mencuba merangkak,

menggapai permukaan bumi,

Dan menegakkan jiwaku kembali,

Menatap, memohon dan menghibaMu



Allahu Rahiim, Ilaahi Rabbii,
Perkenankanlah aku mencintaiMu,
Semampuku



Allahu Rahmaan, Ilaahi Rabii,

Perkenankanlah aku mencintaiMu,

Sebisaku dengan segala kelemahanku



Ya Rabbi, Ya Ilaahi,

Aku tak sanggup mencintaiMu
Dengan kesabaran menanggung derita,

Umpama Nabi Ayyub, Musa, Isa hingga Al Musthafa
Kerana itu izinkan aku mencintaiMu,

Melalui keluh kesah pengaduanku padaMu,

Atas derita batin dan jasadku,

Atas sakit dan ketakutanku



Rabbii,

Aku tak sanggup mencintaiMu seperti Abu bakar,

Yang menyedekahkan seluruh hartanya,

Dan hanya meninggalkan Engkau dan RasulMu,

Bagi diri dan keluarga.

Atau layaknya Umar,

Yang menyerahkan separuh harta demi jihad,

Atau Uthman,

Yang menyerahkan 1000 ekor kuda untuk syiarkan deenMu.

Izinkan aku mencintaiMu,

Melalui seratus-dua ratus perak yang terulur,

Pada tangan-tangan kecil di perempatan jalan,

Pada wanita-wanita tua yang menadahkan tangan

dipojok-pojok jambatan,

Pada makanan-makanan sederhana yang terkirim ke handai taulan.



Ilaahi,

Aku tak sanggup mencintaiMu

Dengan khusyuknya solat salah seorang sahabat NabiMu,

Hingga tiada terasa anak panah musuh terhunjam di kakinya.

Kerana itu Ya Allah,

Perkenankanlah aku bertatih menggapai cintaMu,

Dalam solat yang cuba kudirikan terbata-bata,

Meski ingatan terkadang melayang

Ke pelbagaipermasalahan dunia.



Rabbii,

Aku tak dapat beribadah ala para sufi dan rahib,

Yang membaktikan seluruh malamnya untuk bercinta denganMu.

Maka izinkanlah aku untuk mencintaiMu

Dalam satu dua rakaat lailku.

Dalam satu dua sunnah nafilahMu,

Dalam desah nafas kepasrahan tidurku.



Ya Rahman, Ya Rahim,

Aku tak sanggup mencintaiMu bagai para al hafiz dan hafizah,

Yang menuntaskan kalamMu,

Dalam satu putaran malam.

Perkenankanlah aku mencintaiMu,

Melalui selembar dua lembar tilawah harianku,

Lewat lantunan seayat dua ayat hafalanku.



Ya Rahim,

Aku tak sanggup mencintaiMu semisal Sumayyah,

Yang mempersembahkan jiwa demi tegaknya DeenMu.

Seandai para syuhada,

Yang menjual dirinya dalam jihadnya bagiMu.

Maka perkenankanlah aku mencintaiMu

Dengan mempersembahkan sedikit bakti

Dan pengorbanan untuk dakwahMu.

Maka izinkanlah aku mencintaiMu,

Dengan sedikit pengajaran bagi tumbuhnya generasi baru



Allahu Karim,

Aku tak sanggup mencintaiMu,

Di atas segalanya,

Bagai Ibrahim yang rela tinggalkan putra dan zaujahnya,

Dan patuh mengorbankan putranya,

Maka izinkanlah aku mencintaiMu di dalam segalanya,



Izinkan aku mencintaiMu

Dengan mencintai keluargaku,

Dengan mencintai sahabat-sahabatku,

Dengan mencintai manusia dan alam seisinya.



Allaahu Rahmaanurrahiim, Ilaahi Rabbii

Perkenankanlah aku mencintaiMu semampuku,

Agar cinta itu mengalun dalam jiwa,

Agar cinta ini mengalir di sepanjang nadiku.



Moga setiap detik nafasku sentiasa mencintaiMu…

SYABAB,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Dalam keliru kau mencari identiti diri,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan sebuah kematangan,

Wahai SYABAB,
Ketekunanmu mengoborkan cita-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta Gelombang,
Ayuh, SYABAB!


-Fatimah Syarha-syabab musafir kasih